Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan melaksanakan pendekatan dua guru dalam satu kelas atau co-teaching bermula sesi persekolahan 2027, di bawah Kurikulum Persekolahan 2027 (KSP2027). Langkah ini merupakan perubahan utama bagi memastikan suasana pembelajaran lebih interaktif, seimbang dan mampu memberi perhatian lebih dekat terhadap setiap murid.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata inisiatif ini diperkenalkan bagi menyokong pembelajaran bersepadu melibatkan gabungan pelbagai disiplin ilmu dalam satu sesi. Ia sekali gus membantu mengatasi isu kelas padat yang menyukarkan murid memberi tumpuan.
“Dalam kaedah pengajaran berpasukan dua guru bekerjasama dalam satu kelas secara serentak… gabungan dua tenaga pengajar memainkan peranan bagi menjadikan sesi pembelajaran lebih berkesan serta menarik minat murid,” katanya kepada BH dalam satu temu bual.
Uji rintis membabitkan 130 guru turut dilaksanakan, dan hasil maklum balas didapati positif.
Baca juga:
- Suami maut kemalangan ketika patah balik ambil susu anak
- Dua guru satu kelas mulai sesi 2027, KPM yakin PdP lebih interaktif & atasi keciciran
- ‘Pesakit masuk hospital dehidrasi & jangkitan kuman, bukan sebab bariatrik’ – Dr Gafoor
Pembelajaran bersepadu & nilai karakter
Menurut Fadhlina, co-teaching menyokong pelaksanaan pembelajaran bersepadu, contohnya murid boleh mempelajari Bahasa Inggeris, Sains dan muzik dalam satu sesi yang disusun secara gabung jalin. Pendekatan itu juga membuka ruang kepada guru menjadi lebih kreatif dan interaktif.
Selain akademik, kurikulum baharu turut memberi tumpuan kepada pembentukan karakter. Berbanding sebelum ini, elemen nilai hanya diterapkan melalui Pendidikan Islam atau Moral, kini semua guru termasuk Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris perlu mengintegrasikan nilai dalam PdP masing-masing.
KPM turut memperuntukkan 60 minit seminggu dalam jadual waktu bagi aktiviti pembentukan karakter melibatkan murid sekolah rendah dan menengah.
Guru mula jalani latihan
Menjawab persoalan kesediaan guru, Fadhlina menjelaskan latihan dan penataran sudah bermula bagi sesi akademik 2025/2026, diikuti persediaan penuh untuk pelaksanaan pada 2027.
“Sesi penataran untuk sesi 2026 sudah bermula tahun ini… maknanya kita akan bersedia untuk sesi persekolahan pada 2027,” katanya.
Beliau menambah, guru juga menunjukkan penerimaan baik kerana ia memberi pengalaman baharu dan mampu menangani cabaran bilik darjah yang sesak.
Baca juga:
- Bekas pemain bola disyaki tembak lelaki yang pernah menyerangnya
- ‘Event ni guna fund awak ke sampai layak untuk komen?’ – Yusuf Azmi balas komen Jojo
- ‘Sanggup letak mentua dalam lokap’ – Adik ipar Prince Syed
Komuniti & ibu bapa digalakkan terlibat
Dalam masa sama, pembentukan karakter diperkenalkan seawal prasekolah bermula tahun depan, sebelum diperluas ke Tahun Satu dan Tingkatan Satu pada 2027. Fadhlina berkata, langkah ini memudahkan nilai dipupuk sejak awal, selain menggalakkan kerjasama antara sekolah, ibu bapa dan komuniti.
“Murid prasekolah mudah dibentuk… ibu bapa boleh bersama-sama guru membina karakter dan nilai murni,” katanya.
Kementerian yakin model berjaya
KPM optimis co-teaching boleh dilaksanakan berdasarkan kejayaan model sama di negara lain. Selain dua guru dalam satu kelas, pendekatan itu juga boleh dilakukan melalui gabungan dua kelas untuk sesi pembelajaran yang sama.
“Zaman ini, anak kita lebih dekat dengan gajet, jadi kita memerlukan satu pendekatan yang lebih segar dan menarik untuk mereka fokus pada pembelajaran di sekolah,” katanya.
Jelasnya, kaedah ini ialah penyelesaian segera sementara kerja menaik taraf infrastruktur sekolah dilaksanakan, demi memastikan suasana pembelajaran lebih kondusif.
Sumber: Berita Harian











