Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Tragedi menyayat hati menimpa dua beranak apabila mereka ditemui meninggal dunia dalam sebuah kereta pelbagai guna (MPV) Proton Exora di Jalan Solok Hilir Paya Rumput pada awal pagi Khamis.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar, berkata mangsa, Zabanah Abu Hussin, 57, seorang ibu tunggal, dan anak perempuannya, Intan Nur Shafiqah Othman, 25, dipercayai lemas akibat terhidu gas karbon monoksida.
Menurutnya, polis menerima panggilan kecemasan pada jam 12.24 pagi daripada orang awam yang menemui mereka dalam keadaan tidak sedarkan diri. Siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa dipercayai terhidu gas berkenaan selepas berhenti berehat tanpa mematikan enjin kenderaan.
“Anggota polis yang tiba di lokasi mendapati enjin kenderaan dan pendingin hawa masih hidup, selain tingkap juga tertutup. Kedua-dua beranak berbaring di kerusi hadapan dan pegawai perubatan mengesahkan mereka sudah meninggal dunia,” jelas beliau.
Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka, dengan proses bedah siasat dijadualkan pada jam 8.30 pagi. Polis juga menghantar sampel darah mangsa ke Jabatan Kimia untuk analisis dadah, alkohol, dan gas karbon monoksida. Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut sementara menunggu hasil siasatan penuh.
Baca juga:
- Kakitangan SESB dihanyut arus deras, ditemui meninggal dunia
- Dua beranak maut dalam kereta, lemas terhidu gas karbon monoksida
- Langkawi penuh sempena cuti Hari Malaysia, nafi dakwaan pelancong merosot 39%
Sementara itu, memetik laporan Berita Harian, Khadijah Abu Bakar, 37, anak saudara kepada Zabanah, berkongsi detik ketika kejadian.
“Lebih 20 kali saya menghubungi arwah tetapi tidak berjawab. Hinggalah sekitar jam 11 malam, abang saya menelefon untuk memberitahu bahawa dua beranak itu ditemui tidak sedarkan diri dalam kereta Proton Exora yang diparkir di tepi jalan, kira-kira 50 meter dari rumah saya,”katanya.
Khadijah berkata, Zabanah dan Intan Nur Shafiqah biasanya akan singgah di rumahnya selepas bekerja, namun malam itu mereka tidak tiba. Anak lelaki arwah cuba memberikan bantuan pernafasan sebelum pegawai perubatan mengesahkan kematian kedua-duanya. Dia menambah, bau gas yang kuat terhidu ketika cuba membantu mangsa.
Sumber: Sinar Harian, Berita Harian