Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menggesa pelajar di semua Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) agar terus melaporkan isu buli kepada beliau.
Ujarnya, ruangan media sosial milik beliau dimanfaatkan sepenuhnya untuk mendapatkan maklu balas bagi menambah baik potensi institusi berkenaan.
“Jika isu dewan selera, tandas, kelas pun pelajar boleh mengadu terus pada saya melalui media sosial, harap isu buli juga tolonglah laporkan. Hentikan budaya buli.
“Selama dua tahun saya menerajui MARA, ruangan media sosial sama ada di FB, Instagram, Tiktok mahupun X menjadi ruangan yang saya manfaatkan sepenuhnya untuk mendapatkan maklum balas semua untuk menambah baik potensi institusi yang menjadi payung kepada agenda Melayu-Bumiputera,” katanya.
Tegasnya juga, pelajar tidak perlu khuatir sekiranya digelar dengan bermacam-macam panggilan dan gelaran sekiranya tampil membuat laporan.
“Jangan risau dilabel ‘JIBAM’, ‘MAT REPOT’, dan sebagainya. Jangan sesekali membiarkan diri mahupun taulan dibuli dalam apa jua bentuk.
“Kita kena sama-sama hentikan budaya buli. Tiada tempat untuk pembuli mahupun sebarang bentuk budaya buli di IPMA termasuk MRSM,” jelasnya.
Beliau juga memaklumkan akan mengenakan tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba menutup dan pertahankan pembuli atau kes buli.
“Jika saya tahu ada pihak yang cuba tutup atau pertahankan pembuli mahupun kes buli, tindakan amat tegas akan diambil termasuk ke atas Pengetua, Pengarah, Warden, Pendidik atau sesiapa sahaja,” katanya.
Terdahulu, pelajar-pelajar MRSM yang terlibat dengan insiden buli yang tular baru-baru ini telah dikenakan tindakan tegas.








