Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Seorang lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Muar atas pertuduhan merogol kenalan bawah umur hingga melahirkan anak.
Tertuduh yang bakal melangsungkan perkahwinan bulan depan ditemani tunangnya membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca jurubahasa di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.
Mohamad Haidil Haiqal Abdullah yang bekerja di kebun kelapa sawit didakwa merogol mangsa yang berusia 13 tahun di sebuah rumah di Kluang. Kejadian tersebut berlaku antara Mei hingga November 2022.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan.Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir sementara tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, pihak pendakwaan memberitahu mahkamah bahawa mangsa sudah melahirkan anak pada Mei iaitu seminggu selepas dia ditahan polis pada 30 April tahun lalu.
DNA sepadan dengan tertuduh
Hasil ujian asid deoksiribonukleik (DNA) ke atas bayi yang dilahirkan mangsa mendapati, ia sepadan dengan tertuduh.
Mahkamah memutuskan untuk tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 27 Februari ini untuk fakta kes, hukuman serta laporan sosial Jabatan Kebajikan Masyarakat memandangkan tertuduh pesalah muda.
Sumber: Harian Metro