Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Pempengaruh yang dikenali sebagai DMA Islam sekali lagi mencetuskan kontroversi apabila mengeluarkan kenyataan yang menyifatkan jurusan komunikasi massa sebagai satu pembaziran masa.
Menerusi sebuah hantaran video di platform TikTok, beliau turut menyebut bahawa jurusan lain seperti tarian, teater, dan muzik juga tergolong dalam bidang yang didakwanya sebagai “tiada hala tuju”.
Menurut DMA Islam, jurusan-jurusan berkenaan tidak memerlukan pengajian di peringkat ijazah, sebaliknya lebih kepada pengalaman peribadi.
“Kau tak payah sampai buat PTPTN untuk kau buat degree ‘bodoh’ macam ni. Baik kau pergi kerja dan dapatkan pengalaman yang real,” katanya.
Dia turut mengkritik pelajar jurusan seni persembahan yang menurutnya hanya mahu berseronok.
“Daripada kau sambung degree joget, lepas tu enjoy… semua orang tahu kau buat teater sebab nak enjoy, sosial,” katanya lagi.
Namun, kenyataan DMA Islam itu mengundang kecaman daripada ramai pengguna media sosial. Rata-rata netizen menegur sikapnya yang dianggap memperlekehkan bidang kesenian dan memandang rendah terhadap jurusan berkaitan.
Menurut mereka, bidang seperti komunikasi massa, muzik dan teater bukan sahaja memerlukan kemahiran, malah melibatkan pengetahuan akademik, pemikiran kritis serta sumbangan besar terhadap pembangunan industri kreatif negara.
Malah, netizen turut menegaskan bahawa bidang tersebut bukan sekadar bersifat praktikal, sebaliknya menawarkan pelbagai cabang kerjaya yang luas dalam dunia pekerjaan sebenar, termasuk penyiaran, perfileman, perhubungan awam, pendidikan dan pengurusan seni.