Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang wanita mendakwa anak saudaranya hampir menjadi mangsa buli serius di sebuah sekolah menengah di Pasir Mas apabila lehernya hampir dijerut menggunakan dawai oleh sekumpulan pelajar Tingkatan Empat.
Menurutnya, dalam kejadian itu anak saudaranya bukan sahaja ditendang, ditumbuk dan ditampar, malah turut dipukul serta dilondehkan seluarnya sehingga paras lutut oleh kumpulan pelajar berkenaan.
“Leher hampir dijerut dengan dawai. Mujurlah ada cikgu lalu ketika itu, kalau tidak mungkin anak saudara saya mati di tangan pembuli. Bila cikgu nampak, pelaku-pelaku terus lari bertempiaran. Alhamdulillah anak saudara saya selamat,” katanya.
Katanya juga, enam keluarga dipercayai keluarga pelaku datang ke rumah ibu bapanya bagi meminta agar kes tersebut ditarik balik.
“Tolonglah keluarga pembuli jangan suruh adik saya tarik kes ini. Walaupun mereka baru Tingkatan Empat, tetapi pemikiran sudah sampai tahap begitu. Apa akan jadi bila mereka berumur 20 tahun nanti? Lebih bahaya kalau tidak dikenakan tindakan undang-undang,” ujarnya.

Baca juga:
- Kerajaan mungkin pertimbang potong gaji menteri jika ekonomi semakin mencabar
- Isu aurat dalam tahanan: Muslimat PAS gesa penambahbaikan segera
- Kisah ‘Mahasiswa Abadi’: Tesis didakwa diambil rakan, Dessy kini alami tekanan mental
Katanya lagi, semua suspek telah dibawa ke Balai Polis Pasir Mas dan kini ditahan reman untuk siasatan sebelum kes dibawa ke mahkamah.
Wanita itu turut meluahkan rasa kecewa kerana isu buli di sekolah bukanlah perkara baharu, sebaliknya sudah banyak kali berlaku namun kurang diberi perhatian serius sehingga ada kes berakhir dengan kematian.
“Kes arwah Zara bukan yang pertama. Banyak kali sudah berlaku tapi tidak diwar-warkan. Bila meninggal dunia, baru viral. Kalau setakat kena macam anak saudara saya, ia berlalu macam angin, tidak dipandang berat. Bila meninggal, mula pelbagai persoalan timbul.
“Sampai bila nak jadi macam ini? Cuba fikir sejenak, adakah kes-kes buli yang teruk ini menjadi idola kepada pembuli-pembuli lain?” katanya.








