'Dia tak makan atau minum selama 3 hari' - Albertine Leo selamat kembali ke pangkuan keluarga | The Reporter

‘Dia tak makan atau minum selama 3 hari’ – Albertine Leo selamat kembali ke pangkuan keluarga

Sumber foto: Barbie

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Selepas tiga hari dilari dan disembunyikan oleh sekumpulan individu yang tidak dikenali, Albertine Leo Jia Hui, 6, akhirnya selamat kembali ke pangkuan keluarganya pada petang Selasa.

Hasil dari risikan dan maklumat awam, polis telah berjaya menemui Leo yang disembunyikan di sebuah hotel bajet di Batang Kali, Selangor. Ketika ditemui, tiada sebarang kecederaan fizikal dikesan pada badannya.

Pada petang semalam, seorang wanita yang dipercayai rakan keluarga berkenaan, Barbie, berkongsi gambar Leo dan keluarganya di Facebook, selepas diberi kebenaran untuk berbuat demikian.

Dalam hantaran itu, Barbie memaklumkan keluarga Leo berterima kasih di atas keprihatinan semua pihak. Kanak-kanak berkenaan juga berada dalam keadaan selamat, namun masih dalam keletihan.

“Keluarganya memaklumkan mereka amat berterima kasih atas perkongsian di media sosial yang membawa kepada penemuan Leo,” katanya.

Salah seorang individu yang dipercayai rakan keluarga itu, Colour Fu, turut memaklumkan, Leo tidak makan sepanjang tempoh kehilangannya.

“Dia kata, dia tidak makan atau minum apa-apa selama tiga hari. Bila mendengar kata-katanya itu, hati saya rasa hancur luluh,” katanya.

Barbie kemudian mengesahkan kenyataan tersebut di mana Leo tidak makan ketika berada di hotel itu. Apabila ditanya mengenai apa sebenarnya yang berlaku, Leo hanya mendiamkan diri.

“Kami mengambil keputusan untuk tidak bertanya teralu banyak soalan kepadanya dan biarkan dia pulih daripada kejadian itu terlebih dahulu,” katanya.

Dalam hantaran sebelum ini, Barbie memaklumkan Leo telah menjalani pemeriksaan kesihatan di sebuah hospital dan berharap kejadian itu tidak menjejaskan kesihatan mental kanak-kanak berkenaan.

Terdahulu, Leo dilaporkan hilang pada Sabtu lalu di sebuah pusat beli belah di Johor Bahru dan kali terakhir dilihat oleh ibu bapanya pada jam 8.30 malam.

Seramai lima suspek yang tidak mempunyai pertalian dengan keluarga mangsa telah ditahan. Motif kejadian masih dalam siasatan dan polis mengklasifikasikan kes itu sebagai penculikan.

Sumber: Asia One

Related Posts