Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Sebuah bom jenis mortar tidak meletup (UXO) ditemui di Kilometer 265 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan tengahari semalam berjaya dimusnahkan oleh pasukan Unit Pemusnah Bom (UPB) tanpa sebarang kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda.
Ketua Polis Perak, CP Dato’ Noor Hisam Bin Nordin dalam satu kenyataan memaklumkan, insiden itu dimaklumkan kepada pihak polis sekitar jam 12.15 tengah hari oleh seorang penyelia syarikat pembersihan berusia 51 tahun yang menjumpai objek menyerupai bom semasa menjalankan kerja-kerja pembersihan pokok dan rumput di kawasan lebuh raya tersebut kira-kira jam 9.30 pagi.
Susulan maklumat tersebut, sepasukan anggota UPB dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dengan bantuan UPB Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh segera digerakkan ke lokasi kejadian. Pemeriksaan lanjut mendapati objek tersebut adalah sebutir bom mortar 81mm yang cukup sifat.
“Pasukan UPB telah berjaya memusnahkan UXO tersebut dalam tempoh lebih kurang satu jam tanpa melibatkan sebarang kemalangan jiwa dan harta benda,” menurut kenyataan itu.
Terdahulu, memetik laporan Harian Metro, laluan antara Kuala Kangsar- Ipoh ditutup sementara bagi tujuan keselamatan.
Beberapa video tular juga merakamkan insiden ketika operasi meletupkan bom berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Noor Hisam turut memaklumkan laluan Lebuhraya Utara-Selatan, kira-kira empat kilometer selepas Terowong Menora sudah selamat dilalui pengguna jalan raya.








