Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menafikan dakwaan bahawa hampir 500 anggota penguat kuasanya yang bertugas di lapangan tidak dibenarkan mengambil tindakan terhadap premis tertentu, termasuk yang dikendalikan warga asing.
Dakwaan itu timbul menerusi satu hantaran di media sosial yang mempersoalkan sama ada wujud sekatan dalaman terhadap anggota penguat kuasa DBKL ketika menjalankan tugas.

Bagaimanapun, DBKL dalam kenyataan menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan tiada arahan yang menghalang anggota penguat kuasanya daripada mengambil tindakan terhadap kesalahan di bawah bidang kuasa DBKL.
Menurut DBKL, pembahagian tugas antara jabatan dan anggota penguat kuasa dibuat bagi memastikan setiap tindakan dilaksanakan mengikut fungsi serta undang-undang yang ditetapkan dan bukan sekatan kepada anggota untuk menjalankan tugas.
“Bagi kes melibatkan bidang kuasa agensi lain, DBKL akan mengambil tindakan dalam ruang kuasanya selain menyelaras tindakan bersama agensi berkaitan.” katanya.
Baca juga:
- Menteri Agama puji Jep Sepahtu, sifatkan inspirasi kepada golongan asnaf
- MP Masjid Tanah cadang Hospital Putrajaya dinamakan sempena Tun Dr Hasmah
- Bajet 2027: Puad gesa tubuh badan khas pantau perbelanjaan kementerian
DBKL turut menegaskan tindakan penguatkuasaan dibuat berdasarkan kesalahan yang dilakukan dan bukan berdasarkan siapa yang mengendalikan sesuatu premis.
Pada masa sama, DBKL memandang serius sebarang dakwaan mengenai salah laku atau arahan yang menjejaskan tugas penguatkuasaan serta meminta pihak yang mempunyai maklumat atau bukti khusus mengemukakannya untuk diteliti.
Susulan hantaran berkenaan, DBKL akan membuat laporan polis bagi membolehkan perkara itu disiasat pihak berkuasa.
DBKL menegaskan penguatkuasaan dilaksanakan tanpa pilih kasih dan berdasarkan undang-undang.








