Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Satu rakaman video dashcam yang menunjukkan detik-detik sebelum berlakunya kemalangan tragik melibatkan sebuah bas yang membawa 42 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) kini tular di media sosial.
Dalam rakaman berdurasi kira-kira satu minit itu, bas berkenaan dilihat memotong sebuah kenderaan di laluan selekoh dalam keadaan gelap dan tidak rata, dipercayai di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik.
Dipandu laju, terbalik lalu langgar pembahagi jalan
Menurut rakaman tersebut, bas terbabit memotong dari sebelah kanan dalam keadaan laju di selekoh yang gelap tanpa pencahayaan mencukupi. Beberapa saat selepas memotong, bas itu hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar pembahagi jalan serta sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza yang berada di hadapan.
Hentakan kuat itu menyebabkan bas terbalik dan mengakibatkan kemalangan yang meragut 15 nyawa pelajar serta mencederakan lebih 27 yang lain. Kejadian dilaporkan berlaku sekitar jam 1 pagi Isnin ketika bas dalam perjalanan dari Jerteh, Terengganu ke kampus UPSI di Tanjung Malim.
Netizen terkesan, persoal kenyataan syarikat bas
Rakaman dashcam tersebut mencetuskan pelbagai reaksi di media sosial, dengan ramai netizen meluahkan rasa sedih dan marah melihat cara pemanduan bas yang dianggap cuai dan berbahaya.
Lebih mengejutkan, kenyataan daripada pihak syarikat bas yang memaklumkan bahawa pemandu terbabit adalah “berhemah dan biasa dengan keadaan jalan tersebut” turut dipersoalkan oleh orang ramai.
“Kalau benar berhemah, kenapa memotong di selekoh gelap dan terus hilang kawalan?” soal seorang pengguna Facebook yang turut memuat naik semula rakaman tersebut.
Sebahagian netizen turut mendesak siasatan lebih telus terhadap latar belakang pemandu, rekod perjalanan serta pengurusan syarikat bas bagi memastikan insiden sama tidak berulang.
Siasatan masih dijalankan
Memetik kenyataan Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin sebelum ini, siasatan awal mendapati bas tersebut telah melanggar bahagian belakang Perodua Alza sebelum hilang kawalan. Pemandu bas dan kelindannya turut mengalami kecederaan dan kini dirawat di hospital bersama beberapa pelajar lain.
Kes kini disiasat di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pihak berkuasa memaklumkan siasatan menyeluruh sedang dijalankan termasuk aspek teknikal dan kelajuan semasa kejadian.
Rakaman dashcam berkenaan kini turut menjadi bahan bukti penting dalam siasatan kemalangan yang disifatkan antara paling tragik melibatkan pelajar institusi pengajian tinggi di negara ini.








