Pasangan suami isteri yang juga pempengaruh telah direman kerana disyaki menyeleweng dana derma awam.
Lapor Berita Harian, Alif Teega dan Aisyah Hijanah didakwa melakukan aktiviti tersebut sejak tahun 2020 dan telah mengutip derma dengan jumlah yang dianggarkan mencapai RM3 juta.
“Suspek yang merupakan pasangan suami isteri dipercayai melakukan perbuatan terbabit sejak 2020 dengan menyeleweng dan tidak menyalurkan kutipan derma dengan cara yang betul.
“Dianggarkan kutipan derma terbabit mencecah kira-kira RM3 juta dan siasatan masih di peringkat awal,” kata sumber tersebut.
Difahamkan, dua lagi suspek lain iaitu pengendali platform kutipan derma online, JomDonate, yang disyaki terbabit dalam kes itu turut ditahan bersama Alif dan Aisyah.
Kesemua suspek kini ditahan reman selama empat hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.








