Pakaian rasmi kontijen negara baru-baru ini telah mengundang kritikan ramai. Sehinggakan ada yang mencuba nasib mereka corak yang lebih tampak eksklusif.
Bagaimanapun, susulan maklum balas berkenaan dari orang ramai juga, MOM kini memilih corak corak belang Harimau yang lebih garang dipaparkan pada pakaian rasmi untuk Kontinjen Malaysia ke Paris 2024.
MOM dalam satu kenyataan menjelaskan reka corak baharu yang dipilih berlatarbelakangkan warna hitam dan belang Harimau kuning yang lebih jelas.
“Reka corak baharu yang dipilih adalah berlatarbelakangkan warna hitam, dengan belang Harimau berwarna kuning yang lebih jelas dan besar di sebelah hadapan dan di belakang jaket.
“Logo MOM dengan kibaran Jalur Gemilang kembali dilakar mengikut warna-warna Jalur Gemilang diiringi lima Gegelung Olimpik, berbanding logo MOM berwarna emas yang dipaparkan pada corak terdahulu.
“MOM berasakan bahawa reka corak baharu ini melambangkan semangat Harimau yang sudah menjadi identiti Kontinjen Malaysia sejak kali pertama ia diperkenalkan pada Temasya Sukan Asia Tenggara atau Sukan SEA di Manila pada 2005,” katanya.
Lebih menyerlah
MOM turut berharap pemilihan corak baharu ini akan lebih melambangkan beberapa identiti.
“Sebagai badan yang mengelolakan Kontinjen Malaysia di semua Temasya Pelbagai Sukan antarabangsa, MOM berharap corak dan motif lebih terang ini bukan sahaja menonjolkan identiti dan keseragaman kontinjen tetapi lebih penting melambangkan keperkasaan, ketangkasan dan keberanian untuk berjuang atas nama negara.
“Untuk kemeja T berkolar berwarna emas, MOM mengekalkan corak dan motif yang sama tetapi dengan lakaran logo MOM yang berlambangkan warna-warna Jalur Gemilang sebagai tanda menghormati bendera negara.
“Disebabkan faktor masa, MOM mendapat kebenaran daripada pihak penaja Yonex Sunrise Malaysia agar logo Yonex atau YY tidak dipaparkan di kedua-dua jaket dan kemeja T.
“Ini adalah kerana proses untuk Yonex Sunrise Malaysia mencetak dan menyediakan pakaian rasmi ini memerlukan perjanjian di antara Yonex dan pengilang sebagai prosedur operasi standard (SOP) jenama itu,” jelasnya.
Sumber: Majlis Olimpik Malaysia








