Coach Cerai dakwa mampu nilai jangka hayat perkahwinan hanya dalam lima minit | The Reporter

Coach Cerai dakwa mampu nilai jangka hayat perkahwinan hanya dalam lima minit

Coach Cerai dakwa mampu nilai jangka hayat perkahwinan dalam lima minit.
Coach Cerai dakwa lima minit sudah memadai untuk menilai sama ada perkahwinan boleh bertahan lama atau tidak. | Sumber gambar: Kosmo! Online

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Nama ‘Coach Cerai’ bukan asing dalam perhatian warganet, khususnya selepas pelakon Kamal Adli sebelum ini secara terbuka meluahkan rasa tidak puas hati terhadap penglibatan individu tersebut dalam isu rumah tangganya bersama Uqasha Senrose.

Ketika itu, Kamal menegaskan kisah peribadi rumah tangga seharusnya tidak dibincangkan bersama pihak ketiga tanpa beliau diberi ruang untuk menjelaskan pendiriannya. Malah, beliau turut menggesa sebarang ketidakpuasan hati diselesaikan secara bersemuka dan matang, bukan diceritakan kepada orang luar sehingga menjadi perbualan umum.

Dakwaan ‘lima minit’ kenal pasti perkahwinan boleh bertahan

Dalam konteks berasingan, individu yang dikenali sebagai ‘Coach Cerai’, atau nama sebenarnya Mohd Izary Muhammed Ikhbal, mencetuskan perbincangan apabila berkongsi pandangannya dalam satu sesi podcast bahawa dia hanya memerlukan sekitar lima minit untuk menilai sama ada sesebuah perkahwinan berpotensi bertahan lama atau tidak.

Menurut Izary, pemerhatian terhadap interaksi dan tingkah laku pasangan dalam tempoh singkat sudah memadai untuk memberi gambaran awal tentang tahap kebahagiaan dan kestabilan hubungan mereka.

“Saya hanya perlukan lima minit saja untuk tahu pasangan itu berada dalam perkahwinan yang bahagia atau tidak, dan sama ada ia boleh bertahan lama,” katanya.

Baca juga:

Berdasarkan pengalaman, bukan ramalan mutlak

Bagaimanapun, Izary menegaskan penilaian tersebut bukan bersifat mutlak dan tidak boleh dianggap sebagai ramalan tepat seratus peratus.

Beliau mengakui pandangannya itu terbentuk hasil pengalaman mengendalikan pelbagai isu rumah tangga, selain pemerhatian terhadap corak tingkah laku yang sering berulang dalam sesebuah hubungan.

Izary turut menolak dakwaan seolah-olah dirinya menilik nasib atau membuat kesimpulan tanpa asas, sebaliknya menyifatkan pendekatan itu sebagai analisis berdasarkan pengalaman lapangan.

Media sosial tidak cerminkan realiti sebenar

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak menilai kebahagiaan perkahwinan semata-mata berdasarkan paparan di media sosial.

Izary berkongsi pengalaman mengendalikan kes pasangan yang kelihatan romantik dan penyayang secara terbuka, namun realitinya berdepan masalah serius seperti keganasan rumah tangga dan kecurangan di sebalik tabir.

Perkara tersebut dikongsikan ketika beliau menjadi tetamu dalam sesi podcast kendalian ikstudio, yang kemudiannya mencetuskan perdebatan warganet mengenai batas peranan pihak ketiga dalam konflik rumah tangga serta kesahihan menilai sesuatu perkahwinan dalam tempoh singkat.

Sumber: Gempak

Related Posts