Civil-Led Accountability Network (CLAN) menyeru semua pihak menghentikan budaya ucapan kebencian yang disifatkan mampu menghakis perpaduan masyarakat serta menjejaskan keharmonian negara.
Dalam kenyataan dikeluarkan, CLAN berkata Malaysia dibina atas kepelbagaian kaum, agama dan budaya, justeru perbezaan pandangan politik yang menjadi sebahagian daripada amalan demokrasi tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menyebarkan penghinaan, fitnah atau hasutan.
Menurut organisasi itu, kebelakangan ini berlaku peningkatan penggunaan bahasa yang menghina individu dan kumpulan tertentu terutama menerusi media sosial, apabila perbezaan pendapat sering bertukar kepada serangan peribadi, pelabelan melampau serta kandungan yang mencetuskan kebencian terhadap komuniti tertentu.
“Ucapan kebencian bukan sekadar menyakiti perasaan. Ia mampu mewujudkan suasana ketakutan, menggalakkan diskriminasi dan membuka ruang kepada keganasan.
“Apabila kebencian dinormalisasikan, seluruh masyarakat akan menanggung akibatnya,” katanya.
CLAN turut menggesa semua pihak tanpa mengira fahaman politik, agama atau latar belakang supaya menolak budaya kebencian serta mengutamakan perbahasan yang matang berasaskan fakta dan saling menghormati.
Dalam masa sama, organisasi itu menyeru pemimpin politik agar menunjukkan teladan dengan mengelakkan retorik yang boleh mencetuskan perpecahan atau kebencian dalam kalangan masyarakat.

Baca juga:
- Seorang lagi rakyat Malaysia ditahan di Indonesia, sorok dadah dalam korset
- Dua pelancong Sri Lanka cedera selepas struktur bangunan warisan runtuh di George Town
- Pengiring MB Selangor ditegur susulan video tular, Amirudin mohon maaf
Pengguna media sosial
Pengguna media sosial pula disaran supaya menyemak kesahihan maklumat sebelum berkongsi kandungan yang berpotensi memburukkan keadaan, manakala platform digital digesa memperkukuhkan tindakan terhadap kandungan yang jelas menghasut keganasan atau menyasarkan kumpulan tertentu berdasarkan kaum, agama, kewarganegaraan atau identiti.
CLAN menegaskan masyarakat perlu membezakan antara kritikan yang sah terhadap dasar atau tindakan seseorang dengan ucapan yang menyerang maruah sesuatu komuniti secara menyeluruh.
“Kebebasan bersuara adalah hak yang perlu dipelihara, namun hak tersebut datang bersama tanggungjawab untuk tidak menyebarkan kebencian atau mencetuskan permusuhan,” katanya.
CLAN berkata Malaysia memerlukan lebih banyak dialog, empati dan penyelesaian berbanding kemarahan yang digunakan untuk memecah-belahkan masyarakat.
Organisasi itu menyeru semua pihak bersama-sama mempertahankan budaya hormat, kemanusiaan dan perpaduan demi masa depan negara.








