Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Aktivis politik konservatif Amerika Syarikat, Charlie Kirk, 31 tahun, disahkan meninggal dunia selepas ditembak ketika berucap di Utah Valley University (UVU), Orem, Utah pada Selasa, 10 September 2025.
Kirk, yang juga pengasas organisasi konservatif Turning Point USA (TPUSA), ditembak di bahagian leher sekitar jam 12:10 tengah hari ketika sedang menjawab soalan audiens dalam siri jelajah “The American Comeback Tour”.
Kronologi insiden berdarah
Saksi melaporkan bunyi tembakan kuat kedengaran dari arah bangunan bersebelahan universiti, kira-kira 180–200 meter dari lokasi acara. Rakaman video yang tular menunjukkan Kirk rebah serta-merta di atas pentas dengan darah mengalir deras dari lehernya, sebelum dikejarkan ke hospital.
Namun, pasukan perubatan mengesahkan beliau meninggal dunia tidak lama kemudian akibat kecederaan parah.
Polis tempatan pada mulanya menahan seorang suspek, tetapi siasatan mendapati individu itu bukan pelakunya. Identiti dan motif penembak sebenar masih belum dikenal pasti.
Baca juga:
- Penjaga zoo berusia 59 tahun maut diserang sekumpulan singa
- Saintis terkejut, objek misteri menuju ke sistem suria kini bertukar warna
- Tokoh konservatif Amerika, Charlie Kirk, mati ditembak ketika berucap di Utah
Siapa Charlie Kirk?
Charlie Kirk lahir pada 1993 dan mula mendapat perhatian selepas menubuhkan Turning Point USA, sebuah organisasi yang berpengaruh di kalangan pelajar kampus konservatif.
Beliau juga dikenali sebagai hos The Charlie Kirk Show, sebuah program radio dan podcast berpengaruh yang kerap mengulas isu politik kanan dan memberi sokongan kuat kepada Presiden Donald Trump.
Kirk dianggap salah satu suara penting dalam gerakan konservatif moden, terutama dalam usaha meraih sokongan pengundi muda di Amerika.
Penyokong konservatif tuntut keadilan segera
Kematian mengejut itu menggemparkan dunia politik AS. Penyokong Trump dan aktivis konservatif lain menyifatkan pembunuhan ini sebagai satu “serangan terhadap kebebasan bersuara”.
Pemimpin Republikan turut menuntut pihak berkuasa meningkatkan keselamatan tokoh awam, manakala penganalisis politik melihat insiden ini bakal meninggalkan kesan besar terhadap landskap politik menjelang pilihan raya 2026.