CEO & Ketua HR kantoi curang di konsert Coldplay | The Reporter

CEO & Ketua HR kantoi curang di konsert Coldplay

Chris Martin di konsert Coldplay dan pasangan CEO & Ketua HR yang dirakam berpelukan
Chris Martin berseloroh selepas pasangan di skrin ‘kiss cam’ panik, kini dikenali sebagai CEO dan Ketua HR syarikat teknologi

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Suasana meriah di konsert Coldplay pada 16 Julai lalu di Gillette Stadium, Massachusetts, bertukar kecoh apabila pasangan yang sedang berpelukan terpampang di skrin besar untuk segmen “kiss cam.”

Namun, detik romantik itu berubah menjadi janggal apabila mereka kelihatan panik, lalu segera berpaling dan menyorok dari kamera.

Reaksi spontan penyanyi Chris Martin mencuit perhatian ramai apabila beliau berseloroh mereka mungkin sedang curang.

“Sama ada mereka sedang curang, atau mereka cuma sangat pemalu,” kata Chris.

https://www.tiktok.com/@edwinxfxng/video/7528036582192844062

Klip tersebut pantas tular dan netizen tidak mengambil masa lama untuk mengenal pasti individu berkenaan sebagai Andy Byron, Ketua Pegawai Eksekutif syarikat teknologi Astronomer dan Kristin Cabot, Ketua Jabatan Sumber Manusia syarikat yang sama.

Keadaan menjadi semakin panas apabila Andy dan Kristin sebenarnya sudah berkahwin dengan pasangan masing-masing.

Baca juga:

Andy Byron mohon maaf?

Sehari selepas kejadian, tersebar satu kenyataan kononnya daripada Andy Byron yang mengakui insiden itu sebagai “kesilapan peribadi di pentas umum.”.

Dalam kenyataan yang dikongsi secara meluas di media sosial itu, Andy dilapor memohon maaf kepada isteri, anak-anak dan kakitangan syarikat, sambil memetik lirik lagu Coldplay “Fix You” sebagai simbol penyesalan.

Namun begitu, kesahihan kenyataan itu menimbulkan persoalan. Pada 18 Julai 2025, San Francisco Chronicle dan beberapa media lain melaporkan syarikat Astronomer menafikan pihaknya ada mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi. Ada kemungkinan kenyataan itu palsu atau disebarkan tanpa pengesahan.

Isteri padam nama suami

Tindakan drastik datang daripada isteri Andy, Megan Kerrigan, yang dipercayai membuang nama keluarga “Byron” dari profil Facebook seawal 17 Julai, sebelum menyahaktifkan terus semua akaun media sosialnya. Ramai melihat langkah itu sebagai petanda jelas Megan kecewa dengan perbuatan suaminya.

Sementara itu, Kristin Cabot pula memilih untuk berdiam diri. Profil LinkedIn miliknya turut dinyahaktifkan pada hari sama video tular, memberikan gambaran yan dia juga mahu menjauhkan diri daripada perhatian umum.

Netizen bangkitkan persoalan etika kerja

Isu ini bukan sekadar gosip peribadi. Ramai netizen dan pemerhati industri mula mempersoalkan etika hubungan di tempat kerja, lebih-lebih lagi apabila melibatkan dua individu berpengaruh dalam organisasi.

Hubungan antara CEO dan Ketua HR boleh menimbulkan konflik kepentingan serta melanggar dasar dalaman syarikat jika tidak ditangani dengan telus.

Related Posts