Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Kisah menyayat hati seorang warga emas yang saban hari menggendong isterinya yang lumpuh akibat strok untuk naik ke rumah mereka di tingkat empat sebuah flat kos rendah tanpa lif, mengundang perhatian ramai di media sosial baru-baru ini.
Warga emas berkenaan, dikenali sebagai Pak Cik Ah Yauddin, bukan sahaja berdepan cabaran menjaga isterinya yang terlantar, malah turut menghidap penyakit buah pinggang tahap empat. Lebih mengharukan, beliau tetap tabah berniaga air balang di Pasar Malam Pantai Dalam setiap minggu demi mencari rezeki halal bagi menampung kehidupan mereka.
Namun, takdir Ilahi mendahului segalanya apabila isteri tercinta, Roslina, dilaporkan telah meninggal dunia. Berita sedih itu dimaklumkan oleh selebriti dan aktivis kemanusiaan, Caprice, menerusi satu hantaran di Instagram.
“Dengan hati yang sangat sedih, saya dimaklumkan bahawa Puan Roslina baru sahaja meninggal dunia. Salam takziah kepada keluarga… Al-Fatihah,” tulis Caprice dalam hantaran tersebut.
Baca juga:
- ‘Dia hilang mak di usia 5 tahun, kini anak di usia 22’
- ‘Saya hampir bertakbir’ – Fadhli Shaari tarik balik pujian terhadap PM
- Caprice maklumkan isteri Pak Cik Ah Yauddin meninggal dunia
Perkhabaran itu mengundang rasa sebak dalam kalangan netizen yang sebelum ini terkesan dengan kisah pengorbanan dan kasih sayang tulus pasangan warga emas tersebut. Ramai yang menitipkan doa agar roh Allahyarhamah dicucuri rahmat serta mendoakan agar Pak Cik Ah Yauddin terus tabah menghadapi ujian ini.
Kisah mereka sebelum ini turut mendapat perhatian Caprice yang tampil menghulurkan bantuan, termasuk bantuan perubatan kepada keluarga berkenaan.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki juga hadir sendiri menziarahi keluarga tersebut bersama pasukan doktor dari rangkaian klinik USAHAWAN MARA iaitu UnI Klinik dan UnI Farmasi bagi menjalankan pemeriksaan kesihatan terhadap Pakcik Ah Yauddin dan isterinya.
Dalam lawatan itu juga, perhatian turut diberikan kepada anak perempuan pasangan ini, Siti Nur Aliah, 21 tahun, yang menyuarakan hasrat untuk belajar tetapi dibayangi tanggungjawab menjaga ibunya.









