'Cacat bukan penghalang', Pakcik Abdullah tetap gagah cari rezeki | The Reporter

‘Cacat bukan penghalang’, Pakcik Abdullah tetap gagah cari rezeki

Pakcik albino separa buta menjual barangan kebersihan di tepi jalan Pulau Pinang sambil tersenyum tenang.
Pakcik Abdullah memegang bakul jualannya. Gambar : Storie.my

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Di sebalik hiruk-pikuk kota, masih wujud insan-insan luar biasa yang memilih untuk tidak bergantung harap walau diuji dengan kekurangan. Mereka berdiri atas kaki sendiri, menjadikan kecekalan sebagai kekuatan dan terus melangkah perlahan-lahan, namun penuh harga diri.

Salah seorang daripada mereka ialah Pakcik Abdullah, lelaki albino yang separa buta tetapi tetap gigih menjual barangan keperluan seperti tisu dan sabun di hadapan Balai Polis Swettenham Pier, Pulau Pinang.

Kisah beliau tular selepas dimuat naik oleh pengguna TikTok @storie.my, yang secara spontan membeli semua barang jualannya dan berkongsi perbualan menyentuh hati antara mereka.

Pakcik Abdullah memaklumkan bahawa dia sanggup menaiki bas Rapid Penang dari Kedah setiap hari demi mencari rezeki yang halal. Walaupun penglihatannya kabur dan pergerakannya terbatas, beliau menegaskan bahawa kecacatan bukan alasan untuk berhenti berusaha.

https://www.tiktok.com/@storie.my/video/7500437468991196424

Malah, katanya lagi, semua adik-beradiknya juga dilahirkan albino, manakala ibu bapanya hanyalah petani biasa yang menasihati mereka supaya belajar berdikari sejak kecil.

“Kalau rasa cacat, ada lagi yang takda kaki. Saya masih boleh bergerak, boleh gembira,” katanya sambil tersenyum.

Dalam video @storie.my itu, walaupun membeli semua barangan, dia hanya mengambil sebungkus tisu basah dan memberikan RM50 kepada Pakcik Abdullah sambil menyuruhnya pulang dan berehat. Pakcik itu kelihatan terharu dan mengucapkan ribuan terima kasih, memaklumkan bahawa RM50 sudah pun sangat bermakna baginya.

Kisah ini bukan sahaja membuka mata orang ramai, malah menyuntik inspirasi bahawa selagi ada daya dan kemahuan, tiada alasan untuk tidak terus melangkah

Related Posts