Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Kanak-kanak perempuan berusia lima tahun dilaporkan maut apabila basikal yang ditunggangnya terlibat kemalangan dengan sebuah kereta jenis Perodua Ativa pada petang Ahad di Jalan Nusari Aman, Bandar Sri Sendayan,
Menurut Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din, kejadian jam lebih kurang 7 petang dipandu lelaki berusia 34 tahun dengan sebuah basikal ditunggang mangsa.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kereta berkenaan dari arah Jalan Nusari Aman 2/2M menuju ke arah pintu pos pengawal Taman Nusari Aman 1B.
“Kemudian datang sebuah basikal yang ditunggang mangsa dari arah bertentangan yang pada masa tersebut bergerak di belakang sebuah kenderaan pacuan empat roda masuk ke laluan Perodua Ativa,” katanya.
Keadaan itu katanya, menyebabkan pemandu Ativa tidak sempat mengelak dan terus melanggar basikal mangsa. Mangsa mengalami kecederaan di badan dan telah dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban untuk menerima rawatan.
“Bagaimanapun, pada jam 8.05 malam hari sama, mangsa disahkan meninggal dunia ketika dalam rawatan di Zon ICU Hybrid Hospital Tuanku Jaafar Seremban,” katanya.
Katanya, siasatan kes masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. Sehubungan dengan itu juga, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut dapat menghubungi balai polis berhampiran.
Sumber: Sinar Harian








