Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Filem terbaru lakonan Brad Pitt yang memaparkan dunia perlumbaan Formula One (F1) bukan sahaja menerima pujian kerana visual memukau, jalan cerita penuh emosi dan adrenaline rush yang berpanjangan, malah berjaya mempengaruhi penonton untuk menyelami sendiri pengalaman menjadi pelumba profesional.
Saya sendiri berpeluang menonton filem ini dan boleh dikatakan ia antara naskhah perlumbaan paling realistik dan mendalam yang pernah saya saksikan.

Baca juga:
- Brad Pitt hidupkan watak Pelumba F1, peminat teruja sampai beli steering PS5
- Keluang Man capai RM3.79 juta setakat ini
- Ejen Ali The Movie 2 pecah rekod, kutip RM55.1 juta – tertinggi dalam sejarah animasi Malaysia!
Ramai penonton mengakui babak-babak mendebarkan ketika watak Sonny Hayes, seorang legenda perlumbaan yang cuba mengembalikan reputasinya, mencetuskan keterujaan luar biasa. Malah, sebaik sahaja selesai tayangan, saya ternampak seorang penonton yang sama-sama berada di panggung terus menuju ke sebuah kedai permainan video berhampiran untuk membeli set stereng Logitech G923, mungkin kerana terlalu terinspirasi dengan semangat perlumbaan yang ditonjolkan.

Mengapa filem ini lain dari yang lain?
Tidak seperti filem perlumbaan sebelum ini, naskhah ini memberi tumpuan kepada sisi manusiawi seorang pelumba veteran yang bergelut dengan masa lalu, tekanan pasukan dan cabaran generasi muda. Watak Sonny yang pada awalnya digambarkan sebagai egois akhirnya menunjukkan sisi mentor apabila membantu rakan sepasukan muda, Joshua, menduduki kedudukan 10 terbaik walaupun hubungan mereka tegang.
Filem ini turut memaparkan babak-babak teknikal F1 secara terperinci, termasuk strategi pit stop, pelarasan aerodinamik dan taktik perlumbaan yang rumit, sesuatu yang jarang disorot dalam filem popular.



Momen paling menyentuh penonton
Antara detik paling diingati ialah saat Sonny berdepan cabaran besar dalam perlumbaan penentuan, apabila pelbagai insiden tak dijangka menguji ketahanan dirinya dan pasukan. Ketika ramai meragui kemampuan pelumba veteran itu, dia tetap memperlihatkan keberanian luar biasa hingga mencipta momen yang membuat penonton teruja dan tersentuh.
Seorang penonton berkata, “Masa lap terakhir tu, semua orang dalam panggung terdiam. Walaupun dia bukan lagi pelumba muda, semangat dia memang luar biasa.”

Adakah filem ini berbaloi ditonton?
Walaupun menerima skor sekitar 7.9 di iMDB, bagi saya dan ramai peminat sukan permotoran lain, filem ini layak diberi penilaian lebih tinggi kerana ia bukan sekadar perlumbaan, tetapi kisah pencarian makna hidup dalam dunia yang penuh cabaran.
Filem ini terbukti memberi impak mendalam sehingga ada penonton sanggup melabur dalam set stereng canggih hanya untuk merasai sedikit pengalaman yang diceritakan di layar perak.