Maybank dan CIMB dikenakan Penalti Monetari Pentadbiran (AMP) berikutan ketidakpatuhan Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 disebabkan oleh gangguan berpanjangan beberapa perkhidmatan perbankan.
Malayan Banking Bhd dan Maybank Islamic Bhd. dikenakan penalti sebanyak RM4.32 juta manakala CIMB Bank Bhd dan CIMB Islamic Bank Bhd dikenakan penalti sebanyak RM760,000.
Bank Negara Malaysia (BNM) berkata, keputusan mengenakan AMP itu kepada Maybank dan CIMB selepas mempertimbangkan faktor penyebab dan pengurangan yang relevan.
Gangguan perkhidmatan berpanjangan
Pada 1 Jun 2023 hingga 31 Mei 2024, aplikasi Regional Mobile Bank Platform (RMBP) dan MAE Maybank mengalami beberapa kali masa terhenti tidak dirancang yang menyebabkan gangguan berpanjangan terhadap beberapa antara muka (interface) perkhidmatan perbankan dengan pelanggan dan pihak lain yang berkenaan.
CIMB pula, BNM berkata, pada 8 dan 9 April 2024, pelanggan kumpulan perbankan itu mengalami gangguan perkhidmatan berpanjangan yang menjejaskan saluran perbankan elektronik, mesin juruwang automatik (ATM) serta kad debit dan kad kredit.
Dalam pada itu, Maybank dalam satu kenyataan berkata pihaknya akan menyatakan komitmen dan mematuhi segala peraturan yang dikeluarkan oleh BNM.
“Berkenaan dengan kenyataan Bank Negara Malaysia (BNM), Maybank ingin menyatakan komitmen kami untuk meningkatkan pengalaman dan komunikasi pelanggan, serta memastikan kami mematuhi semua peraturan BNM berhubungan dengan masa operasi perkhidmatan kami.
“Langkah-langkah dalaman untuk mengukuhkan lagi dan memantau sistem kami disediakan untuk memastikan prestasi optimum. Kami amat menghargai sokongan berterusan, kesabaran, dan pemahaman pelanggan kami,” katanya.
Sementara itu, CIMB dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menerima keputusan BNM itu dan menyesali masa berhenti yang tidak dirancang untuk sistem kritikal pada 8 dan 9 April 2024, yang memberi kesan kepada pelanggan dan rakan niaga dalam menjalankan transaksi perbankan mereka.
Sumber: Berita Harian,Maybank








