Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Pengulas politik konservatif Amerika Syarikat, Bill O’Reilly terus mempertahankan kenyataannya bahawa negara Asia Tenggara seperti Malaysia “tiada duit”, walaupun telah ditegur oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim minggu lalu.
Dalam video YouTube terbaharunya, O’Reilly mendakwa rakyat Malaysia tidak mampu membeli barang buatan China kerana pendapatan per kapita yang rendah. Malah, dia menyindir kononnya rakyat Malaysia “tak mampu beli topi kecil pun tanpa kebuluran”.
“Kalau kamu hanya berpendapatan sekitar lima ribu dolar setahun, kamu takkan beli topi. Nak makan makanan Cina pun tak lepas di Kuala Lumpur. Kamu hidup pun cukup-cukup makan,” katanya.
O’Reilly turut membandingkan pendapatan isi rumah tahunan Malaysia, yang didakwanya sekitar AS$5,731 (RM25,110), dengan Amerika Syarikat sebanyak AS$42,220. Katanya, perbezaan besar itu menjadikan rakyat Malaysia tidak mampu membeli barangan dari China, apatah lagi menjadi sasaran perdagangan negara tersebut.
Namun, dalam hujah yang sama, O’Reilly turut membuat kesilapan fakta apabila mendakwa bekas Presiden AS, Barack Obama dibesarkan di Malaysia, sedangkan umum mengetahui Obama membesar di Indonesia.
Teguran O’Reilly ini dibuat susulan lawatan Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia, Vietnam dan Kemboja minggu lalu, yang dikaitkan dengan konflik perdagangan antara China dan Amerika Syarikat.
Perdana Menteri Anwar sebelum ini membalas kenyataan O’Reilly dengan menyifatkannya sebagai angkuh, dangkal, rasis serta dipengaruhi ideologi kolonial. Anwar berkata komen seperti itu hanya menunjukkan betapa sempitnya pemikiran sesetengah pihak yang menyangka hanya negara mereka sahaja berjaya.
O’Reilly sebelum ini terkenal dengan gaya celuparnya ketika bersama Fox News, selain dikenali rapat dengan bekas Presiden Donald Trump.
Sumber: Free Malaysia Today, Malay Mail








