Bil elektrik dijangka naik? Ini penjelasan Kerajaan - The Reporter

Bil elektrik dijangka naik? Ini penjelasan Kerajaan

Kos bahan api meningkat, tarif elektrik mungkin disemak semula.
Foto hiasan

Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.


Harga arang batu dan gas yang digunakan untuk menjana tenaga semakin mahal di peringkat global, menyebabkan kerajaan melihat keperluan untuk menaikkan tarif elektrik bagi menampung kenaikan kos ini.

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) memaklumkan, ketika kadar tarif semasa ditetapkan bagi tempoh 2022 hingga 2024, harga bahan api ini jauh lebih rendah berbanding sekarang. Disebabkan itu, kerajaan perlu menyemak semula tarif asas elektrik bagi tempoh kawal selia baharu (RP4) dari Januari 2025 hingga Disember 2027.

Kenapa bil elektrik mungkin naik?

Menurut Petra, sebahagian besar kos penjanaan elektrik bergantung kepada harga arang batu dan gas. Sejak 2022, harga bahan api ini meningkat dengan mendadak di pasaran dunia, menyebabkan kos untuk menjana elektrik turut meningkat. Ini bermakna, jika harga bahan api terus naik, tarif elektrik juga perlu disesuaikan bagi mengelakkan kerajaan menanggung beban yang terlalu tinggi.

Bagaimanapun, langkah ini menimbulkan persoalan di kalangan wakil rakyat. Ahli Parlimen Labis, Pang Hok Liong, mempertikaikan keputusan kerajaan untuk membenarkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) menaikkan tarif, memandangkan syarikat itu meraih keuntungan bersih lebih RM10 bilion setahun.

Adakah semua pengguna akan terjejas?

Kerajaan menegaskan walaupun tarif asas mungkin dinaikkan, ia masih meneliti mekanisme penyesuaian harga bagi mengelakkan beban yang terlalu tinggi ke atas rakyat, terutama golongan berpendapatan rendah. Petra menjelaskan, sebarang perubahan dalam tarif akan dikawal dengan pelarasan Laluan Kos Ketidakseimbangan (ICPT) yang dikaji setiap enam bulan untuk memastikan ia lebih stabil dan tidak membebankan pengguna secara drastik.

Namun, sehingga kini, kerajaan belum mengumumkan jumlah kenaikan sebenar, dan hanya menyatakan bahawa tarif tidak akan naik sehingga 14% seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Keuntungan TNB, apa yang rakyat perlu tahu?

Mengenai keuntungan TNB, kerajaan menjelaskan ia dikawal oleh peraturan tertentu. Walaupun TNB meraih keuntungan, kadar keuntungan mereka ditetapkan agar tidak terlalu tinggi dan masih munasabah seperti syarikat tenaga lain di negara-negara lain.

Selain itu, keuntungan ini juga membantu memastikan operasi syarikat berjalan lancar serta memberi pulangan kepada pemegang saham utama seperti Khazanah Nasional, Kumpulan Wang Persaraan (KWAP), dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), yang sebahagiannya melibatkan dana pencen rakyat.

Kerajaan masih dalam perbincangan untuk menentukan kadar tarif baharu, dan pengguna dijangka akan mendapat maklumat lanjut menjelang Julai ini.

Sumber: MalaysiaKini

Total
0
Shares
Related Posts
Total
0
Share
error: Copyright reserved!