Timbalan Menteri kesal Jualan Rahmah pun tak menarik minat orang beli beras tempatan
Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh mempersoalkan sikap rakyat yang sebelum ini bising tentang ketiadaan beras tempatan, tetapi kini langsung tidak membelinya walaupun sudah tersedia di pasaran dan ditawarkan pada harga murah melalui program Jualan Rahmah.
“Cuma satu, sebelum ini rakyat bising berkenaan ketiadaan beras tempatan, bising betul-betul seolah-olah kerajaan gagal menyediakan beras tempatan. Tetapi apabila beras tempatan itu penuh di pasar raya, tak laku. Jualan Rahmah pun tak laku beras tempatan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Suhaizan Kaiat (PH–Pulai) yang menyentuh naratif rakyat terbeban dengan pelbagai kenaikan seperti cukai jualan dan perkhidmatan (SST) serta tarif elektrik, sedangkan suasana di pasar raya dan restoran masih sesak dengan orang ramai.
Baca juga:
- JAWI bantah penganjuran pesta air di Kuala Lumpur
- GSF 2.0 dipintas: SNCC sahkan 10 rakyat Malaysia ditahan
- Kanak-kanak jatuh longkang ditemukan, 10 km dari lokasi kejadian
Kos sara hidup membebankan? “Sangat subjektif”
Fuziah menjelaskan, isu sama ada rakyat benar-benar terbeban atau tidak akibat kenaikan harga barang adalah sesuatu yang subjektif.
“Ia sangat subjektif, betul pengamatan apabila pergi ke pasar raya memang penuh, pergi ke restoran memang penuh, tapi dalam masa yang sama ada juga masyarakat yang merasakan susah nak hidup,” katanya.
Beliau turut menyatakan ada kemungkinan naratif mengenai rakyat terbeban ini disebarkan secara berlebihan.
“Daripada andaian dan pengamatan kami, ini yang berlaku. Mungkin kadang-kadang diuar-uarkan dilebih-lebihkan. Tapi tidak dinafikan memang ada yang terkesan,” ujarnya.
Justeru katanya, program Jualan Rahmah diwujudkan untuk membantu golongan yang benar-benar memerlukan.
“Sebab itu kita buat Jualan Rahmah dan mereka sanggup beratur panjang… akhirnya mereka mendapat diskaun yang baik,” kata Fuziah.
Sumber: MalaysiaKini








