Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Bapa kepada suspek kes bunuh Nur Farah Kartini Abdullah, menegaskan dia tidak pernah mendidik anaknya dengan cara yang salah. Namun, percaya apa yang dilakukan oleh anaknya itu atas perbuatannya sendiri.
Walaupun tahu anaknya berdepan dengan dakwaan membunuh, dia akan meneruskan kehidupannya dan menerima takdir yang telah berlaku.
“Siapa yang tidak sayang anak. Saya tidak pernah mendidik dia yang bukan-bukan. Apa yang berlaku ini adalah atas dirinya sendiri. Berani buat, berani tanggung.
“Saya kena tabah dan terus bekerja. Perkara sudah terjadi bukan di depan mata dan tidak boleh saya halang,” katanya memetik laporan daripada Harian Metro, Khamis, 17 Julai 2024.
Tambahnya, polis juga telah mememeriksa telefon bimbit menantunya (isteri suspek) dan mereka telah melantik peguam untuk mewakili suspek untuk berdepan dengan siasatan dan perbicaraan kes di mahkamah.
Suspek yang merupakan anak kelapan daripada 10 beradik dikatakan sangat aktif berkebun di balai tempatnya bertugas kerana mewarisi minat yang sama dengan bapanya dalam bidang tersebut.
Malah, anaknya itu dikatakan amat menjaga kebersihan halaman rumah dan memarahi adik beradiknya jika ternampak sampah atau barang bersepah di kawasan rumah.








