Baru-baru ini tular di Threads video seorang warga emas ditolak sehingga terjatuh ke dalam longkang di Jalan Hujan Rahmat Dua, Taman OUG, Kuala Lumpur.
Susulan kejadian, polis menahan seorang wanita berusia 59 tahun yang pernah bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 10.30 pagi pada 18 September lalu ketika mangsa, 79, keluar dari sebuah kedai.
Suspek yang dipercayai berada di luar premis didakwa menolak mangsa secara tiba-tiba. Mangsa, yang merupakan bekas pemain hoki Selangor pada era 1960-an, mengalami kecederaan di belakang kepala, tangan kiri dan belakang badan.
Baca juga:
- Anwar belum terima peletakan jawatan Anthony Loke, mahu runding semula
- ‘Saya bukan saja-saja tinggalkan kem Malaysia’ – Safawi
- ‘Pecat semua menteri DAP yang persoal titah diraja’ – Takiyuddin
Menurut Hoo, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan pergerakan suspek di luar kedai sebelum kejadian. Polis turut merampas pakaian yang dipercayai dipakai suspek pada hari berkenaan. Suspek bagaimanapun menafikan telah menolak mangsa ketika ditemu bual polis, manakala mangsa memaklumkan bahawa dia tidak mengenali suspek.
Mangsa menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan dibenarkan pulang pada 21 September. Suspek direman selama sehari, sementara Mahkamah Majistret Kuala Lumpur mengarahkan pihak pembela membawanya menjalani pemeriksaan psikiatri. Kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.
Sumber: Sinar Harian








