Polis menahan sepasang pelajar kolej berusia 19 tahun bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang bayi perempuan yang baru dilahirkan dan ditemukan di dalam mangkuk tandas sebuah rumah di Taman Setia Mutiara, Kluang, Johor pada Rabu.
Memetik laporan Sinar Harian, Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, pihaknya menerima laporan pada jam 1 tengah hari selepas pelajar perempuan terbabit menghubungi gurunya sebelum dibawa ke Hospital Enche Besar Hajjah Kalsom, Kluang untuk pemeriksaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati pelajar itu telah melahirkan bayi dan terdapat satu lagi bayi perempuan dalam kandungannya,” katanya.
Menurut beliau, siasatan lanjut di rumah sewa pelajar terbabit menemukan mayat bayi perempuan yang telah meninggal dunia.
Baca juga:
- ‘Janganlah kegembiraan kita menjadi kesusahan kepada orang lain’ – Dr Zulkifli
- Penunggang motosikal maut ketika konvoi ke Himpunan RXZ Members 8.0
- ‘Hanya yang berjiwa kental!’ – Lelaki ini masih guna lampin kain untuk anak-anaknya
Tambahnya, pemeriksaan awal ke atas bayi berkenaan mendapati terdapat beberapa kesan tikaman pada tubuh mangsa, namun punca sebenar kematian masih dalam siasatan.
Susulan kejadian itu, polis turut menahan seorang pelajar lelaki berusia 19 tahun yang dipercayai teman lelaki kepada pelajar perempuan terbabit bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 315 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan atau cuba menyebabkan kematian bayi yang baru dilahirkan.








