Bayi 7 bulan maut, Pajero terbabas & terhumban ke takungan air tepi lebuh raya LPT2 Bukit Besi - The Reporter

Bayi 7 bulan maut, Pajero terbabas & terhumban ke takungan air tepi lebuh raya LPT2 Bukit Besi

Sumber gambar: Orang Awam

Seorang bayi lelaki berusia tujuh bulan dilaporkan maut selepas kenderaan yang dinaiki terlanggar lopak air dan terbabas dalam kemalangan di Kilometer 372, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) di Bukit Besi, semalam.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir berkata, Mohammad Adam Rayyan Abdul Rahim meninggal dunia kira-kira jam 12.25 tengah hari tadi di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.

“Semasa kejadian, mangsa menaiki kenderaan Mitsubishi Pajero Sport yang dipandu Mohammad Taufik Babge, 34, bersama isteri, Hamizah Mustapha, 35, serta dua lagi penumpang lain sedang dalam perjalanan dari Kota Bharu menghala ke Pengerang, Johor.

“Kemalangan berlaku apabila kenderaan yang dipandu Mohamad Taufik tiba-tiba hilang kawalan selepas terlanggar lopak air dan kemudian terbabas melanggar besi penghadang lebuh raya sebelum terhumban ke tebing lebuh raya yang dipenuhi air.

“Kesemua mangsa berjaya diselamatkan orang awam yang melalui kawasan tersebut,” katanya.

Empat mangsa dihantar ke Hopsital Hulu Terengganu untuk rawatan manakala Mohammad Adam Rayyan dikejarkan ke Hospital Nur Zahirah dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.

“Mohammad Taufik dan Hamizah cedera di bahagian kaki dan dada manakala dua lagi penumpang yang berusia 20 tahun dan 11 tahun turut cedera di bahagian dada,” ujarnya.

Maizura berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, satu video tular memaparkan orang ramai membantu mangsa kemalangan di LPT Bukit Besi yang dikongsikan melalui Kumpulan Facebook Pengguna LPT (Lebuhraya Pantai Timur).

Sumber: Sinar Harian

Total
0
Shares
Related Posts
error: Content is protected !!