Seorang pesawah dari Perak, Ahmad Zaidi Awang, 50, merayu bantuan kewangan bagi membiayai pembedahan jantung anak perempuannya yang baru berusia dua bulan, Nor Sara Washfa Ahmad Zaidi.
Bayi tersebut disahkan menghidap masalah jantung berlubang dan memerlukan pembedahan segera.
Ahmad Zaidi bersama isterinya, Masrini Mat Saad, 43, kini berdepan cabaran besar apabila bayi mereka berada dalam keadaan kritikal dan perlu bergantung kepada alat bantuan oksigen di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU).
“Pembedahan perlu dilakukan segera untuk menyelamatkan nyawa anak kami, namun kos sebanyak RM90,000 amat membebankan kerana saya hanya bekerja sebagai pesawah dan isteri pula tidak bekerja (suri rumah),” katanya.


Pasangan tersebut, yang mempunyai dua lagi anak berusia enam dan 11 tahun, memohon bantuan daripada pertubuhan amal One Hope Charity and Welfare yang kini sedang berusaha mengumpul dana untuk pembedahan tersebut.
Pengerusi One Hope Charity, Datuk Chua Sui Hau, memaklumkan, Nor Sara Washfa disahkan menghidap ‘patent ductus arteriosus’ (PDA), ‘atrial septal defect’ (ASD), dan ‘ventricular septal defect’ (VSD), dengan lubang yang berada hampir di bahagian tengah jantungnya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi talian hotline One Hope Charity and Welfare di 04-539 9212, 016-419 2192, 019-232 2192, atau 018-911 4192 untuk memberikan sumbangan.








