Suasana di Bazar Aidilfitri Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) bertukar kecoh semalam apabila ribut kencang dan hujan lebat menerbangkan 45 kanopi peniaga, mencetuskan panik dalam kalangan pengunjung serta peniaga.
Rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan beberapa kanopi melayang sebelum terhempas ke jalan, menyebabkan kerosakan kepada barang jualan dan peralatan peniaga. Tiada kecederaan serius dilaporkan, namun kerugian dialami peniaga akibat kejadian itu.
Peniaga dakwa khemah tak kukuh
Beberapa peniaga meluahkan rasa tidak puas hati, mendakwa bahawa khemah yang dibekalkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak kukuh dan dipasang tanpa langkah keselamatan mencukupi.
- Lafaz talak kerana bola sepak? Dr. Zulkifli tampil beri penjelasan
- K!DZ Pop Con Asia 2026 gabungkan dunia budaya pop, pembelajaran untuk kanak-kanak
- ‘Kuala Lumpur rumah kita’ – Hannah Yeoh kecewa Dataran Merdeka dipenuhi sampah
- Prihatin nasib Orang Asli Kg Sungai Cot, Tunku Azizah tawar penempatan di tanah baginda
- Ketua balai polis direman tujuh hari bantu siasatan kes rasuah hampir RM500
“Kami dah lama meniaga di sini, dulu tak ada masalah sebab khemah tersusun elok. Sekarang DBKL ubah susunan, khemah senang kena tiup angin,” kata seorang peniaga, Nora Dollah, yang mengalami kerugian akibat barang jualannya rosak.
Tambahnya, tiada tindakan segera daripada pihak berkuasa selepas kejadian berlaku, memaksa peniaga membersihkan sendiri kawasan mereka.
Video peniaga berang tular, netizen beri reaksi berbeza
Dalam perkembangan lain, tular video di media sosial yang memaparkan beberapa peniaga berang dengan anggota DBKL, menuduh mereka hanya berlindung di bawah khemah tanpa membantu peniaga yang mengalami kerosakan.
“Tolonglah! Barang niaga kami musnah, khemah terbang, kami nak ganti rugi!” jerit seorang peniaga dalam video yang dimuat naik di TikTok Meknor Serunding.
Bagaimanapun, tindakan peniaga itu menerima reaksi bercampur daripada netizen. Ada yang bersimpati, manakala sebahagian lagi berpendapat kejadian itu adalah bencana alam yang tidak seharusnya dipersalahkan ke atas pihak berkuasa.
“Ribut tu kuasa Allah, bukan salah DBKL. Tempat lain pun ada khemah terbang, bukan Jalan TAR saja,” komen seorang pengguna media sosial.
Dalam kenyataan rasmi, DBKL memberi jaminan bahawa pemantauan dan penambahbaikan akan dilakukan bagi mengelakkan kejadian serupa berulang. Peniaga dan pengunjung juga diingatkan agar sentiasa berwaspada dengan keadaan cuaca yang tidak menentu.
Sumber: Berita Harian, Sinar Harian, TikTok Meknor Serunding








