Bapa mengamuk, cekik guru yang didakwa memukul anaknya yang kantoi merokok di dalam tandas sekolah - The Reporter

Bapa mengamuk, cekik guru yang didakwa memukul anaknya yang kantoi merokok di dalam tandas sekolah

Seorang lelaki berusia 49 tahun ditahan polis selepas membuat ugutan terhadap seorang guru sekolah. Lelaki berkenaan ditahan kerana mengamuk apabila mendapati anaknya dipukul kerana merokok di dalam tandas sekolah.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah, guru berkenaan mendapati maklumat dari pelajar lain yang memaklumkan kegiatan sekumpulan pelajar tingkatan lima yang merokok di dalam tandas.

Bertindak di atas maklumat itu, guru berkenaan terus pergi ke tandas tersebut untuk membuat pemeriksaan sebelum terhidu asap rokok dan terdapat tiga pelajar lelaki berada dalam tandas itu.

“Pengadu mahu membawa pelajar ke bilik dislipin, tetapi pelajar tersebut bertindak agresif dan hasil pemeriksaan pada beg pelajar itu telah menemui satu kotak rokok,” katanya.

Pelajar itu sempat menghubungi bapanya yang kemudian datang ke sekolah dalam keadaan marah dan mempersoalkan tindakan guru yang memukul anaknya.

Selepas dijelaskan mengenai situasi yang sebenar, bapa pelajar itu tetap tidak mahu menerima penjelasan itu dan terus memaki hamun serta mengamuk. Dia turut mencekik guru berkenaan sebelum dihalang oleh beberapa guru lain yang menyaksikan kejadian itu.

Ekoran kejadian itu, suspek telah ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mengugut guru.

Sementara itu pelajar terbabit masih dibenarkan mengambil SPM walaupun sudah dibuang sekolah.

Sumber: Sinar Harian

Total
0
Shares
Related Posts
error: Content is protected !!