Bank Dunia cadang umur keluar KWSP dinaikkan sehingga 70 tahun | The Reporter

Bank Dunia cadang umur keluar KWSP dinaikkan sehingga 70 tahun

Logo KWSP/EPF dipaparkan pada kaca pejabat; kelihatan suasana pejabat dan orang awam di latar belakang.
Bank Dunia cadang umur keluar KWSP dilanjutkan sehingga 70 tahun bagi selaras dengan jangka hayat rakyat Malaysia. | Sumber gambar: Suara Sarawak

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Bank Dunia menilai had umur pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada usia 55 tahun sebagai terlalu rendah bagi Malaysia yang sedang menuju status negara menua. Badan itu mencadangkan agar umur akses dinaikkan kepada antara 65 hingga 70 tahun supaya lebih sejajar dengan jangka hayat rakyat yang semakin panjang.

Cadangan berkenaan dibentangkan dalam laporan terbaharu bertajuk “Should Malaysia expand its social pension? Global evidence, design issues and options” yang dilancarkan hari ini. Menurut Bank Dunia, umur akses yang lebih tinggi berpotensi meningkatkan jumlah faedah purata kepada pesara serta menyokong kelestarian sistem perlindungan sosial negara.

Kenaikan disaran dibuat berperingkat

Selain cadangan menyemak semula umur pengeluaran KWSP, Bank Dunia turut mencadangkan supaya umur kelayakan pencen sosial dinaikkan berperingkat ke lingkungan 65 hingga 70 tahun.

Pada masa ini, umur kelayakan ditetapkan pada 60 tahun, iaitu lebih rendah berbanding banyak negara lain dan tidak lagi menggambarkan peningkatan jangka hayat sihat rakyat sejak skim itu diperkenalkan pada 1982.

Baca juga:

Analisis Bank Dunia berdasarkan data Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah 2022 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan kadar kemiskinan relatif meningkat dengan usia. Kadar itu direkodkan sebanyak 24 peratus bagi mereka berumur 60 tahun ke atas, 42 peratus dalam kalangan individu berusia 65 tahun ke atas dan 49 peratus bagi mereka berusia 70 tahun ke atas.

Bank Dunia menyifatkan trend ini sebagai petunjuk bahawa warga emas semakin terdedah kepada risiko kemiskinan apabila meningkat usia.

Luas liputan untuk kekal mampan

Bank Dunia berpandangan peningkatan umur kelayakan lebih wajar dilaksanakan bersama peluasan liputan skim pencen sosial kepada lebih ramai penerima. Langkah serentak ini mampu membantu golongan yang tidak mempunyai simpanan persaraan atau pencen tetap serta mengelakkan tekanan fiskal berlebihan kepada kerajaan.

Bagi mengurangkan kesan terhadap penerima sedia ada, Bank Dunia mencadangkan mereka terus menerima bantuan seperti biasa manakala penerima baharu akan tertakluk pada had umur kelayakan yang lebih tinggi.

Kajian oleh Khazanah Research Institute dan Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial turut menyokong pendekatan peralihan secara berperingkat ini bagi mengimbangi antara kebajikan rakyat dan kemampuan fiskal negara.

Pada masa depan, umur kelayakan pencen sosial juga boleh diselaraskan secara automatik mengikut jangka hayat sihat sebagaimana diamalkan di beberapa negara dalam Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi.

Sumber: Harian Metro

Related Posts