Komen negatif yang dilemparkan terhadap Allahyarham Muhammad Bakhtiar Mazlan membuatkan seorang pensyarah tidak mampu menahan air mata, selepas mengenali pemuda itu sebagai pelajar yang penuh adab, cemerlang dan disenangi ramai.
Bagi pensyarah TVETMARA Johor Bahru, Norshazwani Shamshudin, pemergian Bakhtiar bukan sahaja kehilangan buat keluarga, malah meninggalkan kesan mendalam kepada warga pendidik dan rakan-rakan yang pernah mengenali peribadi mulianya.
Menerusi perkongsian yang tular, pensyarah berkenaan berkata beliau pada awalnya membaca satu persatu komen mengenai Allahyarham, namun terpaksa berhenti kerana hatinya tidak kuat untuk meneruskan bacaan.
“Saya bukan orang yang menyokong event permotoran seperti ini. Tetapi saya juga tidak menyatakan bantahan dengan makian atau kecaman. Sudah ramai yang mengulas.
“Bagaimanapun, apabila membaca komen netizen terhadap Allahyarham Bakhtiar, saya menangis,” katanya.
Pelajar cemerlang
Menurut beliau, sepanjang mengenali Bakhtiar sebagai pelajar di TVETMARA Johor Bahru, pemuda berusia 22 tahun itu merupakan seorang pelajar cemerlang bukan sahaja dalam akademik, malah dari segi sahsiah.
Bakhtiar disifatkan sebagai pelajar yang menjaga adab dengan pensyarah dan rakan-rakan, ringan tulang membantu serta mempunyai sifat lemah lembut.
Malah, Allahyarham turut dikenali sebagai antara ‘geng surau’ di TVETMARA JB kerana komitmennya menjaga solat lima waktu.
“Allahyarham adalah seorang pelajar yang sangat menjaga adab dengan pensyarah dan rakan-rakan, ringan tulang membantu, bersifat lemah lembut serta menjaga solat lima waktu,” katanya.
Baca juga:
- PERODUA turunkan harga Axia sehingga RM4,700, kini lebih mampu milik
- ‘Rakyat tempatan lindungi PATI, jejas tindakan penguatkuasaan’ – Amirudin
- Mek Yun mohon maaf selepas keluarkan kenyataan berhubung kes Rocky
Ciri-ciri kepimpinsn tinggi
Tambahnya, Bakhtiar juga mempunyai ciri kepimpinan tinggi apabila pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) TVETMARA JB.
Sepanjang pengajian, Bakhtiar turut menerima Anugerah Dekan setiap semester dan pernah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Khas Pengarah, iaitu anugerah kecemerlangan tertinggi di peringkat pusat.
Pensyarah itu berkata, jika dilihat daripada peribadi Allahyarham, beliau percaya ramai ibu bapa mengimpikan anak seperti Bakhtiar.
“Saya jujur, berbelas-belas tahun saya mengajar, awak antara pelajar paling baik saya pernah kenal,” luahnya.
Pada kejadian Sabtu lalu, Bakhtiar maut selepas motosikal Honda Vario yang ditunggangnya dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas di Kilometer 354, LPT2 arah Kuala Terengganu-Kuantan. Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.








