Ejen jualan kosmetik yang diculik dan dibawa ke Thailand pada bulan lalu telah berjaya diselamatkan dan kini telah kembali ke pangkuan keluarganya.
Rosnazirah Mohd Naim, 36, selamat tiba di kediamannya pada jam 2.50 petang tadi di Kampung Kelochor, sambil diiringi dan dipantau oleh pihak berkuasa.
Lapor Harian Metro, sebaik saja keluar dari kereta, Rosnazirah atau Azi, terus mendapatkan kedua ibu bapanya dalam keadaan menangis.
Azi yang memakai pelitup muka adakalanya kelihatan termenung seketika dan menangis, berkemungkinan terkenang detik-detik hitam yang melanda dirinya.
Menurut Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, tidak menolak kemungkinan Azi masih mengalami trauma dan tekanan emosi. Pihaknya juga telah menjalankan sesi kaunseling untuk membantunya pulih dari kesan trauma.
Walaupun kes penculikan telah selesai, Muhamad Zaki menyarankan keluarga mangsa mengadakan perbincangan mengenai langkah yang seterusnya kerana soal keselamatannya tidak semestinya bergantung kepada polis semata-mata. Malah, pihaknya masih perlu menjalankan siasatan berhubung kes itu.
Mengulas mengenai tujuh suspek yang ditahan kerana disyaki mempunyai kaitan dengan kes itu, Muhamad Zaki mengesahkan tiga daripadanya telah dibebaskan, manakala bakinya masih lagi ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 3(1) Akta Culik 1961.
Sumber: Harian Metro, Bernama