Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Tragedi kebakaran di Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini meragut nyawa seorang warga emas dan turut mengorbankan puluhan haiwan peliharaan, meninggalkan kesedihan mendalam kepada masyarakat setempat.
Mangsa, Fatimah Mat Said, 89, ditemui rentung di kediamannya. Dalam insiden itu, kira-kira 70 ekor kucing dan lima ekor anjing gagal diselamatkan.
Namun di sebalik tragedi memilukan itu, terselit kisah harapan apabila seekor kucing berjaya terselamat. Kucing ini diberi nama Api Bunga oleh pasukan penyelamat ketika dihantar ke klinik veterinar, kerana keadaan kelam-kabut dan nama sebenar kucing itu masih belum disahkan oleh pemilik asal.
Api Bunga kini sedang menerima rawatan di klinik veterinar. Walaupun mengalami trauma, lukanya tidak terlalu serius. Terdapat kesan luka bakar pada tapak kaki, telinga dan misai, dipercayai akibat cubaan melarikan diri daripada api. Pemilik sementara berharap orang ramai mendoakan kesejahteraan kucing itu sebelum ia diserahkan kembali kepada pemilik asal selepas pulih sepenuhnya.
Seorang wanita dikenali sebagai Izyan yang tampil membantu kucing itu menjelaskan bahawa beliau berhubung dengan pasukan NGO Lily Gan sehari selepas kebakaran untuk memastikan haiwan yang terlibat selamat.
“Saya tanya sama ada semua kucing mati dan jika perlukan bantuan, maklumkan pada saya. Kak Lily beritahu ramai anjing cedera dan kos rawatan sangat tinggi. Dia juga maklumkan ada seekor kucing terselamat tapi sakit dan terus dibawa ke vet,” katanya.
Baca juga:
- Wanita kongsi perkembangan ‘Api Bunga’, kucing terselamat dari kebakaran
- Kisah Oyen jadi perhatian, tumpang lori dari Bukit Kayu Hitam ke Sekinchan
- Lelaki terkejut jumpa kucing kurang upaya di Pulau Talang
Tanpa berfikir panjang, Izyan meminta izin untuk menjaga dan mengadopsi Api Bunga sementara menanggung sepenuhnya kos rawatan. Dia menjelaskan bahawa niatnya hanyalah untuk meringankan beban pasukan penyelamat yang bertungkus-lumus menguruskan haiwan cedera dan mati.
“Tak kisahlah namanya Api Bunga, Api Cinta atau Bunga Api. Yang penting, kucing itu selamat dan masih dirawat. Tolong doakan yang baik-baik,” katanya.
Kisah Api Bunga menjadi simbol harapan di sebalik tragedi besar ini, mengingatkan masyarakat tentang pentingnya belas ihsan dan sokongan terhadap usaha menyelamatkan nyawa, termasuk haiwan yang tidak mampu bersuara.
Dalam pada itu, menerusi satu hantaran seorang NGO yang dikenali sebagai Lily Gan memaklumkan bahawa anjing-anjing yang terselamat daripada kebakaran tersebut juga memerlukan rawatan lanjut dan memerlukan sumbangan orang ramai untuk meneruskan penjagaan kesihatan mereka.










