Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Tular dakwaan seorang pempengaruh yang menyatakan bahawa individu yang terlalu menyayangi kucing merupakan golongan “tidak sihat mental”. Kenyataan itu mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan pencinta haiwan, hingga ada yang meminta penjelasan daripada sudut agama.
Menjawab isu tersebut, pendakwah terkenal Ustaz Azhar Idrus (UAI) menegaskan bahawa menyayangi kucing bukanlah tanda penyakit mental, malah menjadi sifat terpuji yang pernah dipuji oleh Nabi Muhammad SAW sendiri.
Dalam ceramahnya, UAI mengupas kisah terkenal sahabat Nabi iaitu Abdul Rahman bin Sakhr, yang kemudiannya digelar Nabi sebagai Abu Hurairah, bermaksud “bapa kepada anak-anak kucing”.
Menurut beliau, Abdul Rahman merupakan individu yang sangat menyayangi kucing sehingga sering memberi makanan dan bermain dengan anak kucing di hadapannya.
“Ketika Nabi SAW datang memberi salam, Abdul Rahman cepat-cepat menyembunyikan anak kucing dalam lengan bajunya kerana bimbang Nabi marah,” katanya dalam ceramah tersebut.
Tetapi sebaliknya berlaku Nabi SAW bukan sahaja tidak menegurnya, bahkan mengusap anak kucing itu dan menggelarnya Abu Hurairah dengan penuh kasih sayang.
“Maknanya Nabi memuji dia. Nabi tak kata dia mental. Nabi tak kata otak tak sihat,” jelas UAI.
Sayang kucing tanda Rahmat, bukan masalah mental
UAI menegaskan, sifat penyayang terhadap haiwan adalah akhlak mulia, bukan kecelaruan mental seperti didakwa sesetengah pihak.
“Kalau orang tu suka kucing, jaga makan minum, bagi tempat tinggal… itu bukan mental. Itu sifat penyayang,” katanya.
Bila baru dikira mental?
Menurut UAI, sesuatu perbuatan hanya dianggap ‘luar biasa’ atau mempunyai unsur gangguan mental jika tersasar dari kebiasaan dan logik, contohnya seperti bercakap dengan kucing yang telah mati seolah-olah ia masih hidup,melakukan upacara pelik atau kepercayaan karut melibatkan kematian kucing.
“Itu baru kita kata mental. Tapi kalau sayang kucing, tak ada masalah,” tegasnya.








