'Saya tak minat penjarakan orang, saya nak rampas balik duit rakyat' – Anwar | The Reporter

‘Saya tak minat penjarakan orang, saya nak rampas balik duit rakyat’ – Anwar

Anwar Ibrahim berucap tegas mengenai isu wang rakyat dan rasuah
Anwar Ibrahim: “Saya nak rampas balik duit dan pulangkan kepada rakyat”

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa keutamaannya dalam memerangi rasuah bukan untuk menghukum atau memenjarakan individu terbabit, sebaliknya memastikan wang negara yang telah diseleweng dapat dikembalikan kepada rakyat.

Katanya, beliau tetap akan meneruskan usaha melawan rasuah dalam kalangan pemimpin politik, tokoh korporat dan ahli perniagaan walaupun tidak mendapat sokongan menyeluruh.

“Saya bukan ada minat nak penjarakan orang. Saya ada minat nak rampas balik wang itu supaya kembali kepada rakyat. Itu minat saya,” katanya dipetik Bernama.

Apa keutamaan sebenar Anwar?

Anwar turut mempersoalkan bagaimana negara boleh membenarkan penyelewengan berbilion ringgit berlaku dalam tempoh yang lama, tanpa tindakan tegas atau rasa tanggungjawab yang serius.

“Di mana pengajarannya? Apa makna kuasa? Negara ini akan hanya selamat kalau kita selesaikan masalah pokok, soal pengurusan kewangan negara. Baru kita boleh bicara tentang peruntukan tambahan,” jelasnya.

Beliau juga mengkritik pihak-pihak tertentu yang cuba mengalihkan perhatian rakyat dengan isu kecil, semata-mata untuk menutup masalah sebenar yang membabitkan kewangan negara.

“Yang dicari (mereka) itu hanya hal-hal ‘titik bengik’ yang boleh mengasingkan dan meminggirkan isu pokok, mengalih pandangan kepada isu-isu lain,” katanya lagi.

Anwar berkata beliau akan terus berpegang pada tanggungjawabnya untuk membanteras rasuah yang menurutnya sudah menjadi endemik, meskipun berdepan kritikan atau kekurangan sokongan umum.

“Itu tugas saya dan saya akan laksanakan ia sedaya upaya,” katanya.

Sumber: Bernama

Related Posts