Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Kritikan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim terlalu kerap berada di luar negara akhirnya dijawab Perdana Menteri sendiri. Beliau menegaskan setiap perjalanan itu bukanlah untuk berseronok, sebaliknya kerana amanah rasmi dan undangan pemimpin dunia.
“Orang kritik kata saya banyak ‘berjalan’, ingat saya pergi senang-senang ke, ingat saya pergi bercuti ‘happy’ ke, saya pergi disebabkan kerja.
“Sebagai Perdana Menteri saya banyak ‘berjalan’ kerana dijemput disebabkan kita ada suara, kita negara yang bebas dan merdeka, apa guna merdeka jika tidak berani bercakap,” katanya ketika berucap pada Rapat Umum 27 Tahun Reformasi Peringkat Negeri Johor di Hotel Grand Paragon, Johor Bahru, seperti dilaporkan Harian Metro.
Baca juga:
- PDRM siasat video tular keluarga berpakaian ala diraja
- Kerajaan Sabah batal sambutan Hari Malaysia
- Anwar bangga pentadbirannya berjaya hentikan budaya salahguna kuasa rompak harta rakyat
Jemputan diplomatik, isu Palestin
Beliau turut mendedahkan bahawa Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani, menjemputnya ke Doha bagi membincangkan serangan berterusan Zionis Israel terhadap penduduk Palestin.
“Saya terima pesanan daripada Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani, esok saya akan ke Doha bagi membincangkan serangan berterusan Zionis Israel terhadap penduduk Palestin,” katanya.
Bantu luar negara, rakyat sendiri tidak dilupakan
Anwar menegaskan, Malaysia konsisten menyalurkan bantuan kemanusiaan ke negara lain yang berdepan bencana, termasuk Pakistan ketika banjir dan Myanmar ketika gempa bumi.
“Saya tidak faham apabila orang cakap Anwar asyik bantu Gaza, kita ini manusia, ada masa kemungkinan kita pula yang perlukan bantuan antarabangsa. Pakistan dilanda banjir, Myanmar gempa bumi, walaupun kita tak setuju politik di sana tetapi kita bantu kerana ada orang mati, ada orang sakit.
“Rakyat susah juga kita kena ambil tahu, sekarang kerajaan banyak beri bantuan kepada Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu, angka sebenarnya jauh lebih tinggi peruntukan kita bagi berbanding semasa dia (pembangkang) perintah,” katanya.