Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, disenaraikan di tangga ke-10 dalam The World’s 500 Most Influential Muslims 2026, terbitan Royal Islamic Strategic Studies Centre (RISSC) di bawah Institut Pemikiran Islam Diraja Aal al-Bayt, Amman, Jordan.
Sebelum ini, Anwar berada di kedudukan ke-15 (2025) dan ke-17 (2024), menunjukkan peningkatan konsisten dalam pengaruh globalnya.
Perjalanan politik penuh ujian
Laporan berkenaan menggambarkan perjalanan panjang Anwar bermula sejak zaman mahasiswa di Universiti Malaya, melalui era jatuh bangun politik termasuk pemecatan, pemenjaraan dan tempoh panjang sebagai Ketua Pembangkang sebelum kembali menerajui kerajaan pada November 2022.
Baca juga:
- Bank Dunia cadang umur keluar KWSP dinaikkan sehingga 70 tahun
- Gelandangan kini semakin ‘memilih’ makanan akibat agihan berlebihan – Zaliha
- Anwar Ibrahim kini tokoh Muslim ke-10 paling berpengaruh dunia 2026
RISSC turut menyorot peranan Anwar dalam meredakan ketegangan antara Thailand–Kemboja selepas insiden sempadan, sekali gus mengukuhkan imej Malaysia sebagai aktor pendamai serantau.
“Anwar membantu membina kepercayaan antara Bangkok dan Phnom Penh, sekali gus mengukuhkan imej Malaysia sebagai perantara keamanan yang konstruktif di Asia Tenggara,” menurut laporan itu.
Lantang bela Palestin, kritik Meta
Dalam isu genosid Gaza, laporan menegaskan kedudukan Anwar sebagai antara pemimpin Muslim paling vokal mempertahankan hak Palestin serta mengecam kekejaman rejim Zionis.
Anwar juga sebelum ini mengkritik Meta kerana memadam hantaran takziah terhadap pemimpin Hamas yang terbunuh, menyifatkan tindakan tersebut sebagai pengecut dan menyeru platform itu tidak tunduk kepada tekanan Israel.
RISSC menilai pendirian itu sebagai sebahagian daripada komitmen Anwar terhadap keadilan sosial, tadbir urus Islam progresif, serta solidariti umat Islam global.
Di tangga teratas senarai 2026 ialah Amir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, manakala Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, berada di kedudukan ke-15.
Sumber: Astro Awani
 
			








