Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil tindakan undang-undang terhadap Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berhubung beberapa kenyataan yang didakwa berunsur fitnah terhadap beliau.
Memetik laporan Harian Metro, peguam yang mewakili Anwar, Datuk SN Nair berkata kenyataan yang didakwa berbaur fitnah itu dibuat di luar Parlimen pada 14 Jun lepas dan telah diterbitkan semula melalui media sosial.
SN Nair berkata surat tuntutan itu menuntut Tuan Ibrahim menarik balik kenyataan berkenaan dengan serta-merta serta membuat permohonan maaf secara terbuka tanpa syarat.
Baca juga:
- ‘Perbuatan vandalisme rumah ibadat di Bukit Tinggi tidak boleh diterima – Young Syefura
- Veteran DAP persoal tindakan tutup kilang kerana bendera terbalik
- UMNO kekal dalam Kerajaan Perpaduan hingga akhir penggal
Selain itu, Tuan Ibrahim turut dikehendaki memberikan aku janji untuk tidak mengulangi dakwaan sama serta membayar ganti rugi dan kos guaman.
“Tuan Ibrahim diberikan tempoh 48 jam untuk memberikan maklum balas terhadap tuntutan tersebut,” katanya.
Terdahulu, Tuan Ibrahim didakwa menyampaikan ceramah politik di Felda Jenderak Utara, Kuala Krau, Pahang pada 14 Jun lalu yang mengandungi beberapa kenyataan dipertikaikan. Rakaman ceramah berkenaan kemudiannya diterbitkan semula menerusi akaun media sosial.
Antara kenyataan yang dipertikaikan termasuk dakwaan bahawa Anwar mencampuri urusan pewarisan takhta Institusi Diraja Negeri Sembilan.








