Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang anggota polis yang didakwa menunjukkan isyarat lucah kepada seorang wanita ketika berlangsungnya satu protes di ibu negara pada Jumaat lalu telah dikenal pasti, dan siasatan dalaman telah dimulakan.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, semakan mendapati anggota polis terbabit bertugas di kawasan sekitar ibu negara dan siasatan telah mula dilakukan meskipun pihaknya tidak menerima sebarang laporan rasmi berhubung kejadian itu.
Kejadian itu mula tular selepas seorang wanita mendakwa anggota polis berkenaan melakukan perbuatan tersebut ketika dia sedang mengambil gambar semasa protes hak asasi manusia di ibu kota. Wanita itu memuat naik hantaran di media sosial pada Jumaat dengan menyifatkan tindakan tersebut sebagai “gangguan seksual menjijikkan”.
Menurut wanita tersebut, kejadian berlaku ketika protes berkaitan isu antarabangsa, dan dia mendakwa anggota polis itu beberapa kali mengulangi isyarat lucah berkenaan bagi memastikan ia dilihat olehnya.
“Tindakan seperti ini tidak boleh diterima,” tulisnya dalam hantaran di laman X.
Perbuatan anggota itu mencetuskan kemarahan ramai dan netizen yang mendesak agar pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadapnya.
Sumber: Harian Metro








