'Saya tak boleh terima YB, dia anak sulung harapan', bapa mangsa kemalangan bas UPSI luah rasa sebak | The Reporter

‘Saya tak boleh terima YB, dia anak sulung harapan’, bapa mangsa kemalangan bas UPSI luah rasa sebak

Ahli Dewan Undangan Negeri Jabi, Datuk Dr Azman Ibrahim menenangkan bapa mangsa yang terlibat dalam kemalangan bas UPSI.
Dr Azman Ibrahim menenangkan bapa kepada Allahyarhamah Nur Dalila Farhana, salah seorang mangsa kemalangan tragis yang mengorbankan 15 pelajar UPSI. Gambar: Facebook Dr Azman Ibrahim

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Kisah kemalangan tragis yang meragut nyawa 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pastinya meninggalkan kesan yang amat mendalam kepada keluarga masing-masing.

Siapa sangka, anak yang menjadi harapan keluarga kini telah pergi buat selama-lamanya. Kesedihan jelas terpancar pada wajah-wajah yang menanti kepulangan jasad yang kini tidak lagi bernyawa di pangkuan mereka.

Bapa kepada salah seorang mangsa, Allahyarhamah Nur Dalila Farhana, menyatakan bahawa sukar untuk menerima kenyataan tersebut. Namun, beliau reda dengan ketentuan Ilahi atas pemergian anak sulung yang menjadi harapan keluarga.

Kata-kata yang meruntun hati itu telah dikongsikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Datuk Dr Azman Ibrahim menerusi satu hantaran di laman Facebook beliau.

“Saya tak boleh nak terima, YB. Tapi terpaksa reda dengan ketentuan Allah. Dia anak sulung harapan saya,” ujar beliau kepada Dr Azman.

Dr Azman turut menenangkan bapa mangsa dan mengakui dirinya turut berasa amat terkesan dengan insiden yang berlaku.

“Sabar, Abe Sham. Setiap apa yang berlaku adalah dalam ilmu Allah. Kita hanyalah hamba-Nya yang lemah. Ambe (saya) juga ada anak seusia Abe Sham. Sangat terkesan dengan apa yang terjadi. Abe Sham tak berseorangan,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Azman memaklumkan bahawa sumbangan sebanyak RM1,000 daripada Pejabat ADUN Jabi serta RM1,000 lagi daripada Kerajaan Negeri Terengganu telah disampaikan kepada keluarga mangsa.

“Ambe sampaikan sumbangan RM1,000 dari Pejabat ADUN Jabi dan RM1,000 dari Kerajaan Negeri kepada Saudara Mohd Isma, atau lebih mesra dipanggil Hisham, ayahanda kepada Allahyarhamah Nur Dalila Farhana,” ujarnya.

Related Posts