Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Wartawan CNN Indonesia, Irine Wardhanie, tidak dapat menahan sebak ketika berkongsi pengalamannya ketika berada di Aceh, menyatakan kebimbangan terhadap keadaan masyarakat terutamanya kanak-kanak yang masih menghadapi kekurangan makanan dan bantuan di wilayah terpencil.
Menurut Irine, walaupun usaha pihak berkuasa termasuk Tentera Indonesia (TNI) dan Polis Indonesia (Polri) telah dikerahkan, serta kerja membina infrastruktur dijalankan, situasi di lapangan masih mencabar. Beliau menekankan bahawa kemalangan kerja sering berlaku, menunjukkan betapa sukar dan berisikonya usaha membantu komuniti yang terjejas.
“Kalau masyarakat Aceh mengaku memerlukan bantuan, kita kena akui. Banyak sukarelawan, terutamanya tenaga perubatan, ingin masuk ke Aceh. Tetapi saya tidak sangka melihat kanak-kanak berdiri di tepi jalan meminta makanan. Itu tidak sepatutnya berlaku,” kata Irine.
Baca juga:
- Arab Saudi umum penemuan emas 8 juta auns pada 2025
- Garuda Indonesia nafi rekrut wanita menyamar pramugari Batik Air
- Trump pertahankan ejen imigresen, selepas wanita ditembak mati dalam operasi
Beliau menambah, kanak-kanak seharusnya berada di tempat yang selamat, mendapat makanan berkhasiat, akses pendidikan, dan penjagaan kesihatan yang baik. Namun, setelah lebih seminggu berada di Aceh bersama rakannya, tiada perubahan ketara yang dapat dilihat.
Keadaan ini menyebabkan masyarakat tempatan mengibarkan bendera putih sebagai simbol memohon pertolongan daripada kerajaan, serta menghantar surat kepada UNDP dan UNICEF untuk mendapatkan bantuan segera.
Irine menegaskan, keadaan kanak-kanak yang kelaparan dan terpaksa meminta makanan di jalanan adalah realiti yang tidak sepatutnya berlaku dan memerlukan perhatian segera daripada pihak berkuasa serta komuniti antarabangsa.








