Akaun TikTok Mekyun dengan 1.4 Juta pengikut 'hilang' | The Reporter

Akaun TikTok Mekyun dengan 1.4 Juta pengikut ‘hilang’

Mekyun kecewa akaun TikToknya dipadam secara tiba-tiba.
Mekyun dan Abe Wee

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Pencipta kandungan popular, Mekyun, meluahkan kekecewaan selepas akaun TikTok miliknya yang mempunyai 1.4 juta pengikut dipadam secara tiba-tiba tanpa sebarang amaran. Akaun abangnya, Abe Wee, turut menerima nasib sama.

Menerusi hantaran di Instagram, Mekyun berkongsi bahawa dia menangis sepanjang malam mengenangkan segala usaha bertahun-tahun membina platformnya lenyap dalam sekelip mata. Setiap video dan kenangan yang dikongsi dengan pengikutnya turut hilang bersama akaun tersebut.

Menangis akaun berjuta followers dipadamkan

Menurut Mekyun, kandungan yang dihasilkannya hanya bertujuan menyebarkan kebahagiaan serta berkongsi kehidupan sehariannya, namun kini semuanya hilang begitu sahaja. Situasi ini lebih menyedihkan kerana ia turut menjejaskan sumber pendapatannya sebagai pencipta kandungan.

“Mekyun dengan Abe Wee rasa down sangat. Mekyun satu malam, menangis semalam. Bukan TikTok Abe Wee je kena banned, TikTok account Mekyun pun kena banned. Berjuta-juta followers account Mekyun.

“Bayangkan bertahun-tahun Mekyun bina platform tu sampai naik 1.4 juta followers. Setiap video dan memori yang kami share dengan korang, hilang dalam sekelip mata.

“Mekyun tak faham, apa salah Mekyun. Content Mekyun hanya untuk sebarkan positivity, happiness, dan kongsikan hidup Mekyun dengan korang. Tapi semua itu hilang macam tu je tanpa sebarang amaran.

“Lagi sakit, ini adalah karier Mekyun sebagai seorang content creator. Hopefully akan dapat balik account lama kami.

Ramai pengguna TikTok alami masalah sama

Susulan kejadian itu, Mekyun telah membuka akaun baharu dengan nama @mekyunofficial dan berharap pengikutnya dapat terus menyokongnya di platform tersebut. Abangnya, Abe Wee, juga membuka akaun baharu dengan nama @abewee1. Mereka berdua berharap dapat mendapatkan semula akaun lama mereka.

Di ruang komen, ramai netizen mendakwa mengalami nasib sama apabila akaun TikTok mereka dipadam tanpa sebab yang jelas. Ada yang bukan pencipta kandungan tetapi tetap menjadi mangsa, walaupun tidak melanggar garis panduan komuniti. Malah, ada juga yang mendakwa akaun yang masih mempunyai baki hadiah (gift) daripada sistem TikTok Live lebih cenderung menjadi sasaran.

Selain itu, wujud spekulasi bahawa punca akaun-akaun ini dipadam mungkin berkaitan dengan isu semasa, termasuk kandungan berkaitan Palestin. Namun, perkara ini masih belum dapat dipastikan.

23 akaun TikTok media dipadamkan

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, mengesahkan pihaknya telah memanggil wakil TikTok untuk memberi penjelasan berhubung isu ini di mana 23 akaun TikTok organisasi media tempatan yang mempunyai jutaan pengikut telah dipadam tanpa sebarang amaran. Sesi perbincangan dijadualkan berlangsung pada Isnin depan bagi mendapatkan maklumat lanjut.

Terdahulu, TikTok mengesahkan sekatan terhadap akaun beberapa organisasi media baru-baru ini berpunca daripada pelanggaran polisi keselamatan belia di platform media sosial itu.

TikTok menjelaskan kandungan yang dimuat naik memaparkan dakwaan serangan seksual terhadap seorang kanak-kanak yang berlaku di Batang Kali, Selangor dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Related Posts