Agong nasihat graduan jangan terlalu memilih kerja, elak jadi 'Penganggur Terhormat' | The Reporter

Agong nasihat graduan jangan terlalu memilih kerja, elak jadi ‘Penganggur Terhormat’

Sultan Ibrahim nasihat graduan
Sumber gambar : IG Official Sultan Ibrahim

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Iskandar bertitah mengingatkan graduan agar tidak bersikap terlalu memilih dalam mencari pekerjaan, sebaliknya memanfaatkan peluang yang ada demi menghadapi persaingan sengit, terutamanya daripada pekerja asing.

Seri Paduka Baginda bertitah bahawa sikap terlalu memilih hanya akan merugikan graduan itu sendiri serta memberi impak negatif kepada pembangunan negara.

“Jika terlalu memilih pekerjaan, graduan akan kekal menjadi ‘penganggur terhormat’ dan peluang kerja akan direbut pekerja asing. Akhirnya, mereka sendiri dan negara yang akan menanggung kerugian,” titah Sultan Ibrahim pada Istiadat Konvokesyen UiTM kali ke-100 di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam, hari ini.

Sultan Ibrahim turut menasihati graduan agar tidak terlalu bergantung kepada bantuan kerajaan semata-mata. Baginda menegaskan bahawa sikap ini boleh melahirkan generasi yang lemah dan pasif.

“Sebagai generasi baharu yang bakal memimpin negara, saudara-saudari perlu menolak sikap buruk ini. Sikap bergantung hidup hanya akan melemahkan keyakinan diri dan semangat untuk memajukan diri. Akhirnya, ia menghalang kemajuan negara,” titah Baginda.

Seri Paduka Baginda turut menyeru semua pihak, termasuk generasi muda, pegawai kerajaan, dan ahli politik, agar berani melakukan perubahan dalam diri bagi memastikan kemajuan besar dicapai demi masa depan bangsa dan negara.

Sultan Ibrahim juga menzahirkan penghargaan kepada UiTM atas usahanya melahirkan generasi graduan yang kompeten serta berharap universiti itu akan terus memainkan peranan sebagai pusat ilmu yang memacu kemajuan negara.

“Syabas dan tahniah kepada semua graduan yang berjaya menamatkan pengajian,” titah Baginda.

Pada majlis tersebut, Sultan Ibrahim turut dimasyhurkan sebagai Canselor UiTM yang ketujuh.

Related Posts