Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Adaptasi daripada kisah benar, filem Srikanth membawa satu karya yang penuh dengan emosi. Srikanth mengisahkan tentang seorang lelaki yang buta tetapi ‘celik’ dengan masa depan.
Semasa dilahirkan, Srikanth hampir ditanam bapanya kerana dianggap oleh keluarga lain dia pembawa nasib malang. Namun dihalang oleh ibu Srikanth. Bagaimanapun, bapanya sering menganggap dia merupakan seorang anak yang bertuah.
Filem ini bermula dengan memperkenalkan Srikanth, seorang lelaki yang mempunyai cita-cita besar tetapi terpaksa menghadapi pelbagai halangan. Srikanth datang dari keluarga yang sederhana dan menghadapi kesukaran ekonomi. Walaupun begitu, dia mempunyai tekad yang kuat untuk mengubah nasibnya dan keluarga.
Tulang belakang kepada kejayaan Srikanth juga adalah daripada dorongan gurunya yang banyak membantu.
Disebabkan oleh pelbagai halangan untuknya masuk menyambung pelajaran di negara sendiri, dia bertekad untuk mencuba nasib di luar negara.
Campur tangan sistem dan politik di negaranya juga menyebabkan Srikanth putus asa untuk kembali ke tanah air. Namun, pujukan dan nasihat dari teman wanitanya menyebabkan Srikanth pulang ke India dengan harapan dapat membawa satu perubahan kepada negara.
Bukan hanya dugaan semasa belajar, Srikanth juga berdepan dengan cabaran dunia pekerjaan untuk mendapat kepercayaan pelabur untuk mengusahakan syarikat Boolant industries yang mengambil golongan OKU sebagai pekerja.
Srikanth, satu naskhah yang berbaloi untuk ditonton membuatkan kita celik mata dengan usaha dan semangat kental seorang pemuda OKU yang berjiwa besar.
Sumber: Netflix