Bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim menegaskan beliau tidak pernah melakukan penyelewengan sepanjang menerajui institusi itu, malah mendakwa pelbagai siasatan yang dijalankan sejak 2018 gagal menemukan sebarang bukti salah laku terhadap dirinya.
Menurut beliau, tuduhan kononnya beliau ‘menyebabkan’ wang Tabung Haji diseleweng tidak berasas kerana pelbagai agensi, termasuk polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan audit forensik telah menjalankan siasatan menyeluruh terhadap pengurusan TH.
“Kalau betul saya sakau, pada 2018 Tun Dr. Mahathir sudah penjarakan saya. Audit forensik sudah dibuat dan tidak ada,” katanya.
Azeez berkata, beliau bersama bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom hanya melaksanakan tanggungjawab masing-masing ketika menguruskan TH.
Beliau turut mendakwa telah memberikan keterangan kepada polis sebanyak 11 kali berhubung siasatan berkaitan TH, selain pernah ditahan reman oleh SPRM selama hampir 14 malam. Menurutnya, pegawai polis turut memaklumkan bahawa siasatan tersebut hanya menunggu arahan untuk diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).
Baca juga:
- ‘Kalau betul saya sakau, tahun 2018 Tun M dah penjarakan saya’ – Abdul Azeez
- Bayi perempuan maut dalam tandas, pasangan pelajar kolej ditahan
- Istana Negeri Sembilan tarik balik darjah kebesaran Rais Yatim
Azeez turut merujuk kepada surat yang dikeluarkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki pada 2021, yang menurutnya dibuat selepas siasatan bermula pada 2018. Justeru, beliau berkata mana-mana pihak bebas untuk membuka semula siasatan sekiranya perlu.
“Saya dah melalui semua proses siasatan. Kalau nak siasat balik, silakan,” katanya.
Mengulas penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung TH, Azeez berkata beliau sendiri berulang kali memohon supaya suruhanjaya itu ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan tersebut.
Beliau mendakwa pernah mengemukakan permintaan tersebut kepada kerajaan ketika dipimpin Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, namun hanya direalisasikan selepas Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi Perdana Menteri.
Menurutnya, tindakan meminta RCI ditubuhkan membuktikan beliau tidak gentar untuk disiasat kerana yakin rakyat mampu menilai hasil siasatan secara adil.
Sumber: Malaysia Gazette









