Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Bekas ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak, Voon Shiak Ni, mencadangkan agar nama Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, dipertimbangkan sebagai salah satu calon utama untuk jawatan Perdana Menteri Malaysia pada masa hadapan.
Menurutnya, sudah terlalu lama tumpuan kepimpinan negara hanya berlegar di Semenanjung, sedangkan tokoh-tokoh dari Sabah dan Sarawak turut memiliki pengalaman, integriti serta visi yang jelas untuk membawa Malaysia ke hadapan.
“Kenapa kepimpinan negara mesti terus dimonopoli Malaya? Kepercayaan seperti ini bukan sahaja sudah lapuk, malah merugikan perpaduan kita,” katanya memetik laporan The Borneo Post.
Baca juga:
- ‘Suara lantang Kinabatangan’, Bung Moktar tinggalkan legasi besar untuk Sabah
- ‘Orang itu digari dengan baju oren, tidak puas hati lagi ke?’ – Anwar
- Akmal Saleh gesa BN kekal pembangkang bermaruah di Sabah
Nilai berdasarkan kelayakan, bukan lokasi
Voon menyifatkan dakwaan kononnya tiada tokoh lain yang layak menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai satu bentuk ‘kemalasan intelektual’ dan cerminan budaya politik lama yang hanya bergantung pada jaringan sokongan sempit di Semenanjung.
“Sentimen seperti ini menunjukkan amalan pilih kasih politik yang sempit dan menafikan bakat yang kita miliki di seluruh Malaysia.,” ujarnya lagi.
Beliau turut memuji pentadbiran Abang Johari sebagai stabil, teknokratik dan berpandangan jauh sejak mengambil alih tampuk kepimpinan Sarawak pada 2017. Katanya, Gabungan Parti Sarawak (GPS) di bawah pimpinan beliau berjaya mengekalkan kestabilan politik sambil memperkenalkan dasar pembangunan yang konsisten dan berimpak tinggi.
“Berbanding ramai pemimpin peringkat pusat yang masih tenggelam dalam retorik populis, Premier Sarawak membawa pendekatan yang pragmatik dan profesional.”
Voon menambah, Abang Johari juga memiliki kelebihan dalam menyatukan kepentingan negeri dan negara secara seimbang, sesuatu yang sangat diperlukan dalam landskap politik Malaysia pada hari ini.
Beliau menegaskan, sudah tiba masanya rakyat menilai calon pemimpin berdasarkan merit, bukan berdasarkan geografi mahupun parti.
Sumber: The Borneo Post








