Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Setiap ibu bapa mempunyai pendekatan tersendiri dalam membesarkan anak-anak mereka. Bagi pelakon Rozita Che Wan atau Che Ta, beliau memilih keseimbangan antara kemewahan dan kehidupan sederhana dalam mendidik anak perempuannya, Aaisyah Dhia Rana.
Dalam temubual bersama Mingguan Wanita, Che Ta menjelaskan Aaisyah tidak dibesarkan sebagai seorang anak orang kaya walaupun keluarganya sering dilihat menjalani kehidupan yang serba mewah.
“Aaisyah bukanlah anak orang kaya. Dia bukan dibesarkan, dilahirkan dalam dulang emas. Kita bagi balance. Kalau ada bajet lebih, kita bawa dia ke tempat yang bajet lebih. Kalau tak ada bajet, kita bawa dia ke tempat bajet rendah.”
Beliau turut menceritakan bagaimana latar belakang dirinya yang sederhana dan suaminya, Zain Saidin, yang berasal daripada keluarga berada, memberikan perspektif berbeza dalam membesarkan anak mereka.
“Saya bawa Aaisyah pergi Pavilion, Zain pula bawa dia pergi Uptown. Jadi saya rasa balance untuk Aaisyah. Dia tahu tempat sini, dia tahu tempat sana. Kita ikut kemampuan masing-masing. Kalau mampu, apa salahnya. Sudah tentu kita nak yang terbaik untuk anak-anak,” kata Che Ta.
Sebagai contoh, sambutan hari lahir Aaisyah baru-baru ini diraikan dengan percutian lima hari ke Semporna, Sabah. Walaupun sederhana, beliau menekankan kegembiraan Aaisyah lebih utama berbanding kemewahan berlebihan.
Che Ta menolak tanggapan bahawa anak orang kaya mudah manja dan kurang berdikari, dengan menegaskan bahawa segalanya bergantung pada didikan ibu bapa, kerana nilai berdikari tetap boleh diterapkan walaupun anak dibesarkan dalam kemewahan, yang dianggapnya sebagai salah satu cara menunjukkan kasih sayang.
“Ramai anak orang kaya yang berdikari, dan banyak juga anak biasa yang malas. Kebanyakan yang kaya-raya itu memang lahir daripada keluarga kaya, tetapi mereka tahu bapanya kerja keras untuk mencapai kekayaan itu. Jadi mereka mahu berusaha seperti itu juga,” ujarnya.
Sumber: Mingguan Wanita
Gambar: Nona