Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bersama pasangannya, Bella Astillah meluangkan masa hampir dua jam bersama Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bagi mendapatkan nasihat mengenai alam perkahwinan.
Syed Saddiq menerusi hantaran di media sosial berkata, pertemuan itu memberi peluang kepada mereka berdua untuk ‘berguru’ mengenai soal rumah tangga, pengorbanan dan kesetiaan dengan isteri Perdana Menteri berkenaan.
Menurutnya, Wan Azizah merupakan antara individu yang paling layak memberikan nasihat mengenai perkara tersebut berdasarkan pengalaman dan perjalanan hidup beliau.
“Kalau nak cari orang paling layak beri nasihat tentang rumah tangga, pengorbanan dan kesetiaan, susah nak lawan beliau.
“Beliau memahami selok-belok dunia politik. Beliau tahu besarnya pengorbanan seorang isteri dan seorang ibu.
“Diuji berkali-kali, dalam keadaan yang bukan mudah, tetapi tetap teguh dan setia bersama keluarga,” katanya.
Syed Saddiq turut menyifatkan Wan Azizah sebagai “Malaysia’s Compassionate Iron Lady” atau ‘Wanita Besi Malaysia yang penuh belas ihsan’.
Baca juga:
- Syed Saddiq dan Bella Astillah ‘berguru’ bab perkahwinan dengan Wan Azizah
- DBKL nafi hampir 500 anggota penguat kuasa dihalang ambil tindakan
- PAS tuntut penjelasan penangguhan permohonan pengampunan Najib
Bekas Menteri Belia dan Sukan itu turut mengenang pengalamannya pernah berkhidmat bersama Wan Azizah dalam Kabinet dan menyifatkan peluang berkenaan sebagai satu penghormatan serta keistimewaan yang akan sentiasa dihargainya.
Bagaimanapun, Syed Saddiq secara berseloroh berkata, kunjungan kali ini bukanlah bagi menghadiri mesyuarat Kabinet, sebaliknya dia dan Bella hadir membawa kad perkahwinan.
“Kali ini datang bukan untuk mesyuarat Kabinet… tapi saya dan Bella datang bawa kad kahwin,” katanya.
Syed Saddiq turut berterima kasih kepada Wan Azizah kerana meluangkan hampir dua jam berkongsi nasihat, cerita serta pesanan kepada mereka berdua.
“Insya-Allah, nasihat itu kami bawa masuk ke alam perkahwinan,” katanya.









